
Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum The Rayhan sepatutnya kembali menggegarkan pentas, namun sesuatu yang tidak dijangka berlaku. Konsert The Rayhan Syukur 26 yang dijadualkan berlangsung pada 15 Ogos ini ditangguhkan.
Bukan kerana sambutan kurang memberangsangkan. Bukan juga kerana tidak bersedia untuk bertemu peminat. Sebaliknya, keputusan itu dibuat kerana penganjur mahu memastikan kemunculan semula kumpulan nasyid ikonik berkenaan benar benar mampu menghidupkan kembali nostalgia yang selama ini tersimpan dalam ingatan peminat.
Lebih menarik, di sebalik penangguhan itu tersimpan satu persiapan besar yang mungkin membuatkan peminat semakin tidak sabar. Hampir 90 peratus barisan pemuzik yang bakal mengiringi The Rayhan terdiri daripada pemuzik otai yang pernah terlibat dalam konsert mereka sebelum ini.
Jadi, apabila penganjur memilih untuk ‘tarik nafas’ dan memberi sedikit masa tambahan kepada The Rayhan, mereka bukan mahu sekadar kembali ke pentas. Mereka mahu kembali dengan persembahan yang benar-benar berbaloi untuk dikenang peminat.
Konsert The Rayhan Syukur 26 Ditangguhkan Demi Persiapan Lebih Rapi

Wakil Bintang Batu Event, Ikhram Zainuddin atau Atom selaku pihak penganjur menjelaskan, keputusan menangguhkan konsert itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor, termasuk tempoh latihan, persiapan vokal, komitmen para pemuzik serta permintaan daripada peminat yang mahukan ruang masa lebih sesuai.
“Dalam konsert ini memang salah satunya kita panggil pemuzik yang terlibat dengan konsert The Rayhan yang dulu. Majoriti, boleh kata 90 peratus pemuzik otai yang terlibat daripada konsert yang lama,” katanya.
Bagi penganjur, peluang untuk menghimpunkan semula barisan pemuzik berpengalaman yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan The Rayhan merupakan sesuatu yang perlu dilakukan dengan penuh teliti. Faktor usia dan komitmen kerja para pemuzik juga menjadi antara perkara yang perlu diberikan perhatian.
Kemunculan semula kumpulan nasyid itu selepas sekian lama tentunya hadir dengan cabaran tersendiri. Peminat bukan sekadar mahu melihat kumpulan tersebut kembali ke pentas, tetapi mahu merasai semula aura dan pengalaman yang pernah mereka nikmati pada era kegemilangan kumpulan berkenaan.
Menurut wakil penganjur, The Rayhan kini sedang melalui proses persiapan yang lebih serius termasuk latihan vokal dan persembahan, selain memastikan barisan pemuzik dapat memberikan persembahan pada tahap terbaik.
“Dalam konsert ni memang kita nak bagi yang terbaik untuk audience yang datang. Dari segi latihan, vokal, dari segi pemuzik,” jelasnya.
Antara perkara yang menjadi perhatian ialah penglibatan pemuzik lama yang pernah mengiringi The Rayhan. Sekitar 90 peratus daripada barisan pemuzik terdiri daripada mereka yang pernah terlibat dengan konsert terdahulu, sekali gus menjadikan Konsert ini sebagai sebuah persembahan yang sarat dengan nilai nostalgia.

Malah, penganjur turut menyentuh mengenai penglibatan pemuzik seperti Steve Thornton yang sudah lama tidak membuat persembahan dan kini kembali untuk menjayakan projek berkenaan.
Atas faktor tersebut, penganjur mengambil keputusan untuk tidak tergesa gesa mengejar tarikh asal.
“Bila kita berbincang, kita buat keputusan untuk tarik sikit. Itu semua menarik nafas yang lega sikit. Semua nak bagi yang terbaik,” katanya.
Keputusan itu turut mengambil kira permintaan peminat yang sejak beberapa bulan lalu menghubungi pihak penganjur dan bertanyakan kemungkinan tarikh alternatif. Ada peminat yang memaklumkan kemungkinan berlaku pertindihan dengan konsert lain pada tarikh asal serta berharap agar lebih banyak ruang diberikan untuk mereka menghadiri persembahan ini.
Pihak penganjur bagaimanapun memilih untuk tidak membuat sebarang janji mengenai tarikh baharu terlalu awal kerana perlu mengambil kira jadual kumpulan itu, pemuzik dan semua pihak yang terlibat.
The Rayhan Bakal Kongsi Pentas Bersama MK Noki Dan Opick

Selain persiapan kumpulan utama, Konsert The Rayhan Syukur 26 turut dijangka menarik perhatian menerusi barisan artis jemputan yang bakal bergabung dan berkongsi pentas.
Setakat ini, MK Noki daripada K Clique dan Opick merupakan antara nama yang sudah diumumkan. Gandingan tersebut pastinya memberikan warna berbeza kepada persembahan kerana penonton bakal menyaksikan pertembungan antara elemen nasyid, rap dan muzik kontemporari dalam satu pentas.
Penganjur sendiri mengakui latihan bersama MK Noki mempunyai cabaran tersendiri, terutama apabila beliau perlu menyesuaikan gaya persembahan rap dengan muzik The Rayhan.
“Bayangkan K Clique nak jadi nasyid, nak rap dengan The Rayhan. Latihannya memang agak mencabar,” katanya sambil menjelaskan masih ada pengumuman tambahan mengenai barisan artis yang bakal menyertai konsert berkenaan.
Dalam masa sama, pihak penganjur turut memberi perhatian terhadap penampilan The Rayhan bagi memastikan kemunculan mereka benar benar bersesuaian dengan skala persembahan yang dirancang.
Menurutnya, aspek pakaian dan grooming turut diberikan perhatian sebagai sebahagian daripada penambahbaikan keseluruhan persembahan.
“Penambahbaikkan tu dari setiap sudut termasuklah dari segi pakaian, grooming dan Alhamdulillah bertambah handsome The Rayhan ni,” seloroh penganjur.
Bagi pihak penganjur, The Rayhan bukan sekadar sebuah nama yang dibawa ke pentas. Kumpulan itu mempunyai nilai sentimental yang cukup besar kepada mereka yang terlibat dalam menjayakan konsert ini.
“The Rayhan ni dia umpama baby kami, abang abang kami yang bersama sama kami,” ujarnya.
Pada masa sama, pemindahan venue daripada MAIP kepada Megastar Arena dikekalkan buat masa ini. Harga tiket juga tidak berubah walaupun terdapat penangguhan terhadap tarikh asal persembahan.
Jualan Tiket The Rayhan Syukur 26 Sudah Melepasi 50 Peratus

Walaupun tarikh asal konsert ditangguhkan, sambutan terhadap Konsert The Rayhan Syukur 26 dilaporkan masih bergerak dengan pantas.
Pihak penganjur memaklumkan jualan tiket kini sudah melepasi 50 peratus, sekali gus menunjukkan permintaan peminat terhadap kemunculan semula The Rayhan masih berada pada tahap yang memberangsangkan.
Kerjasama bersama Sembang Ohh Yeahh dan Havoc Event & Management turut dilihat mampu memperluaskan capaian promosi serta penyebaran maklumat berkaitan konsert tersebut kepada peminat. Penganjur juga memaklumkan beberapa promosi tambahan mungkin diperkenalkan bersama rakan kolaborasi dan penaja yang terlibat.
Bagi Havoxians dan peminat yang mahu menyaksikan sendiri kemunculan kumpulan nasyid lagenda menerusi Konsert The Rayhan Syukur 26, tiket ditawarkan pada harga RM1,288 (Super VIP), RM559 (VIP), RM469 (Platinum), RM389 (Gold), RM329 (Silver) dan RM279 (Bronze).
Menariknya, pakej Super VIP turut merangkumi sesi meet and greet serta goodies bag lengkap lanyard, pas poster, kipas, kemeja T eksklusif, woven bag dan wristband. Tiket boleh didapati secara dalam talian melalui platform Uber Tickets.