
Dalam dunia muzik yang sering bergerak mengikut arus selamat, keberanian untuk tampil dengan identiti sendiri menjadi sesuatu yang semakin jarang. Di tengah lambakan karya yang mengejar trend sementara, kemunculan MADAM : The Album hadir membawa naratif berbeza.
Menariknya, ini bukan sekadar sebuah album sulung, tetapi percubaan serius sebuah band muda untuk menyuntik nuansa baharu dalam landskap rock Malaysia.
MADAM, singkatan kepada Men of Another Day Another Music, tidak muncul sebagai band yang mahu menumpang gelombang. Sejak ditubuhkan, kumpulan ini bergerak dengan visi membina bunyi tersendiri, dan album pertama mereka yang dilancarkan pada 22 April lalu menjadi bukti kematangan perjalanan tersebut.
Di saat ramai memilih formula yang mudah diterima pasaran, MADAM sebaliknya mempertaruhkan lapan karya original yang lahir daripada eksplorasi emosi, konflik hubungan dan pencarian identiti.
Dari modern rock hingga alternative rock, pop rock dan soft rock, album ini bergerak dalam spektrum yang pelbagai tanpa kehilangan arah.

Apa yang menjadikan karya ini unik bukan hanya susunan muziknya, tetapi keberanian mereka mengangkat cerita yang dekat dengan realiti pendengar. Di sinilah MADAM : The Album cuba berbicara lebih jauh daripada sekadar hiburan.
“Album ni lahir dari passion semua orang dan akan jadi mustahil kalau tak ada sokongan daripada semua. Semoga album ni dapat kukuhkan lagi tempat MADAM dalam industri,” kata vokalis MADAM, Putera Muhammad.
Ini jelas menggambarkan bahawa album sulung MADAM ini lahir daripada sebuah perjuangan sekumpulan anak seni yang enggan kekal nyaman dan berani keluar dari zon selesa.
MADAM Bawa Nafas Segar Dalam Evolusi Rock Tempatan

Rock tempatan sentiasa melalui fasa perubahan. Dari era dominasi band besar, kebangkitan indie, hingga ledakan bunyi alternatif moden, setiap generasi membawa tafsiran sendiri tentang bagaimana rock harus bergerak.
MADAM hadir sebagai sebahagian daripada generasi baharu yang tidak melihat genre sebagai sempadan. Sebaliknya, mereka menjadikan kepelbagaian bunyi sebagai kekuatan.
Pendekatan itu dapat dirasai menerusi Antara Garisan, single fokus yang mengangkat sisi kekecewaan dalam hubungan yang dipenuhi penipuan dan ilusi. Namun di sebalik naratif cinta yang rapuh, lagu ini sebenarnya berbicara tentang kesedaran melihat kebenaran walau pahit.
Kekuatan seperti ini penting kerana pendengar hari ini bukan hanya mencari melodi, tetapi naratif yang dekat dengan pengalaman mereka.
Dalam konteks itu, MADAM tidak cuba menjadi band yang nostalgik dengan acuan rock lama, sebaliknya membawa semangat genre itu ke ruang yang lebih kontemporari yang memberi warna baharu kepada nuansa rock Malaysia.
Pendekatan DIY MADAM Jadi Cerminan Kebebasan Kreatif

Salah satu sisi paling menarik di sebalik MADAM : The Album ialah keputusan band ini menguruskan keseluruhan proses produksi secara independen. Daripada penulisan lagu, rakaman sehingga penerbitan, semuanya dilakukan sendiri selepas pengalaman terdahulu yang membuatkan mereka enggan lagi terlalu bergantung pada keputusan pihak luar.
Keputusan itu bukan sahaja memberi kebebasan kreatif, tetapi memperlihatkan bagaimana MADAM mahu mengawal identiti muzik mereka tanpa kompromi.
Tambahnya, dalam ekosistem muzik hari ini, pendekatan DIY bukan lagi sekadar pilihan alternatif, tetapi simbol bahawa artis boleh membina perjalanan sendiri tanpa perlu tunduk sepenuhnya kepada struktur industri tradisional.
Malah, bagi band-band baharu, inilah merupakan cabaran sebenar. Berani untuk bebas berkarya meski sering datang dengan risiko yang besar. Tetapi bagi MADAM, risiko telah menjadi sebahagian daripada DNA mereka.
Meskipun bergerak dengan semangat independen, album ini tetap menerima sokongan daripada Sony Music Malaysia, MyCreative Ventures dan Astro Gempak, menunjukkan karya organik juga mampu mendapat kepercayaan pemain industri lebih besar. Gabungan ini memberi dimensi bahawa independen dan arus perdana tidak semestinya saling bertentangan.
The Album Boleh Jadi Titik Perubahan Untuk MADAM

Setiap album sulung membawa satu soalan besar. Adakah ia sekadar pengenalan, atau permulaan kepada sesuatu yang lebih besar. Bagi MADAM, The Album dilihat mempunyai potensi menjadi titik perubahan.
Bukan hanya kerana ia memperkenalkan identiti bunyi mereka dengan lebih jelas, tetapi kerana karya ini hadir pada waktu pendengar semakin terbuka kepada muzik yang jujur dan tidak terlalu dibentuk algoritma.
Di sinilah kelebihan MADAM. Mereka hadir bukan dengan sensasi, tetapi dengan karakter. Jika Antara Garisan berjaya menemukan mereka dengan khalayak lebih luas, album ini berpotensi menjadi asas kukuh untuk langkah lebih besar selepas ini.
Untuk pengetahuan Havoxians, pelancaran rasmi yang berlangsung di Spacerubix, Puchong pada Rabu bukan hanya simbolik sebuah debut, tetapi sebuah permulaan untuk melihat sejauh mana MADAM mampu berkembang sebagai nama penting dalam gelombang baharu rock tempatan.
Baca Juga : Sakura Band ‘RE:START’ Selepas 12 Tahun Menghilang, Masih Relevan Atau Sekadar Nostalgia