
Konsert Malam Qolbu hadir pada saat dunia hari ini tidak pernah sunyi dengan pelbagai bentuk hiburan, namun tidak semua hiburan mampu menyentuh hati dan memberi ketenangan kepada jiwa.
Ada ketika, apa yang dicari bukan lagi sekadar persembahan hebat di atas pentas, tetapi satu ruang untuk berhenti seketika, mengingati kembali tujuan hidup dan menyuburkan rasa cinta kepada insan paling mulia, Nabi Muhammad SAW.
Daripada kerinduan itulah, Konsert Malam Qolbu hadir membawa sebuah pengalaman berbeza apabila menyatukan seni, alunan muzik Islamik dan penghayatan sirah Rasulullah SAW dalam satu malam penuh makna pada 24 Ogos 2026 di Idealive Kuala Lumpur.
Konsert Malam Qolbu Gabungan Muzik Islamik Nusantara

Mengangkat konsep Islamik Nusantara Musik, Konsert Malam Qolbu bakal menampilkan gabungan nama besar dalam industri muzik ketuhanan termasuk Opick, Mawi, Rabbani, UNIC dan The Rayhan.
Namun, keistimewaan malam tersebut bukan hanya terletak pada barisan artis yang dibawakan. Setiap persembahan akan disusun sebagai satu penceritaan yang membawa penonton menyelami mesej kerohanian menerusi Gimik Pembukaan Sirah & Cahaya, segmen Interlude Pantomim dan Visual Poetry.
Malam tersebut kemudian akan disempurnakan dengan alunan Selawat Nabi yang menghimpunkan seluruh hadirin dalam suasana ukhuwah serta kecintaan kepada Rasulullah SAW.

Menurut wakil penganjur, idea melahirkan Konsert Malam Qolbu tercetus daripada rasa tanggungjawab untuk menggunakan platform seni sebagai medium menyampaikan mesej yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Kami melihat penganjuran ini sebagai satu amanah yang sangat besar. Tanpa Rasulullah SAW, kita tidak akan mengenal Islam seperti hari ini.
Maka menjadi satu kebanggaan buat kami apabila diberi peluang untuk menganjurkan sebuah majlis yang mengajak masyarakat berselawat, mengenang sirah Baginda dan menyemarakkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW.
“Mungkin usaha ini kecil, tetapi jika ia mendapat keredaan Allah dan menjadi sebab kita memperoleh syafaat Rasulullah SAW, maka itu adalah sesuatu yang amat bernilai buat kami,” katanya.
Bukan Sekadar Hiburan, Malam Qolbu ‘Jambatan’ Dekati Sirah Rasulullah s.a.w

Dalam landskap hiburan yang semakin berkembang, penganjur percaya muzik juga mampu menjadi jambatan untuk membawa mesej positif sekiranya digunakan dengan pendekatan yang tepat.
Konsert Malam Qolbu diharapkan mampu membuka lembaran baharu buat penganjuran acara berkonsepkan Islamik di Malaysia, sekali gus membuktikan bahawa program berteraskan dakwah dan kerohanian masih mempunyai tempat dalam kalangan masyarakat pelbagai usia termasuk generasi muda.
Bagi pihak penganjur, kehadiran penonton ke acara sebegini bukan hanya mengenai pengalaman menyaksikan persembahan, tetapi peluang untuk membawa pulang sesuatu yang lebih bermakna.
“Dalam kehidupan ini kita sentiasa melabur untuk dunia. Namun sesekali, marilah kita melabur untuk saham akhirat. Setiap selawat, setiap doa, setiap ilmu dan peringatan yang diperoleh pada malam tersebut mudah-mudahan menjadi amal yang berpanjangan dan memberi ganjaran yang berlipat ganda,” jelasnya.
Melihat perkembangan acara Islamik di negara jiran seperti Indonesia yang mampu meraih sambutan besar, penganjur yakin Malaysia juga mempunyai kelompok masyarakat yang mencari pengisian hiburan berbeza.
“Anak-anak muda hari ini bukan sahaja mampu menganjurkan acara hiburan, malah mampu menjadi penggerak kepada program yang membawa manfaat kepada ummah,” tambahnya.
Kolaborasi Seni Dan Dakwah, Nafas Baharu Hiburan Islamik Malaysia

Konsert Malam Qolbu merupakan hasil kolaborasi antara Duyufurrahman Travel & Tours Sdn Bhd dan Aftermusic Project bersama kerjasama strategik Laskar Entertainment.
Gabungan kepakaran ketiga-tiga pihak ini bertujuan merealisasikan sebuah penganjuran yang bukan sahaja menghiburkan, malah membawa mesej dakwah, kerohanian dan kecintaan kepada Rasulullah SAW dalam bentuk yang lebih segar serta mudah didekati masyarakat.
Duyufurrahman turut diperkuatkan dengan tenaga muda berpengalaman dalam bidang Haji dan Umrah termasuk Mualim Muda Anas, juara Mualim Muda musim pertama serta Mualim Muda Ashraf yang merupakan finalis program tersebut.
Sekadar info, konsert ini turut mendapat sokongan ZAYAN sebagai radio rasmi, manakala Gempak dan Salam Musik bertindak sebagai rakan media digital. Royal Chulan The Curve pula tampil sebagai penaja hotel rasmi bagi penganjuran istimewa ini.
Buat mereka yang ingin menjadi sebahagian daripada malam penuh penghayatan ini, tiket Konsert Malam Qolbu dijual pada harga bermula RM250 hingga RM350 dengan harga khas pelajar turut disediakan.
Pembelian tiket boleh dibuat Havoxians menerusi Ticketmelon dan Fantopia untuk menjadi sebahagian penonton yang mengimarahkan lagi sambutan Maulidur Rasul tahun ini.