
Bayangkan Istana Budaya yang biasanya sinonim dengan teater dan persembahan seni, berubah menjadi sebuah ruang yang dipenuhi alunan selawat, qasidah, muzik, visual dan luahan cinta kepada Rasulullah SAW.
Lebih menarik, pengalaman itu bukan dibina dalam suasana yang terlalu formal, sebaliknya hadir dengan pendekatan urban, santai dan dekat dengan generasi muda.
Inilah yang bakal dibawa menerusi Nuansa Urban Rohani 2026 atau NUR26, sebuah program istimewa yang buat julung kalinya menyaksikan Istana Budaya bergabung dengan TV AlHijrah untuk menghidupkan sambutan Maulidur Rasul dalam wajah yang lebih segar.
Bakal berlangsung pada 25 Ogos 2026 di Lambang Sari dan Laman Beringin, Istana Budaya, NUR26 tampil sebagai sebuah pengalaman yang menggabungkan nilai Islam dengan dunia seni dan kreativiti.
Program ini bukan sekadar mahu menghidupkan suasana sambutan Maulidur Rasul 1448 Hijrah, sebaliknya membuka ruang kepada masyarakat untuk mendekati kisah, nilai dan kecintaan terhadap Rasulullah SAW menerusi medium yang lebih santai dan mudah diterima.
NUR26 Gabungkan Seni Islam dan Elemen Kontemporari Untuk Generasi Muda

Kerjasama antara Istana Budaya yang berada di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta TV AlHijrah di bawah Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama ini turut membawa aspirasi Malaysia MADANI menerusi pendekatan seni yang menekankan kerohanian, ihsan dan interaksi komuniti.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi Istana Budaya, Johan Cruyff atau Mohd Johari Md Nordin, melihat NUR26 sebagai sebuah platform yang mampu menghubungkan unsur hiburan dengan mesej yang lebih bermakna.
“Kita berharap NUR26 dapat menjadi satu platform yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi pada masa yang sama membawa pengisian dan mesej kerohanian yang dekat dengan hati masyarakat, khususnya golongan muda serta menyemarakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW,” ujarnya.
Kenyataan tersebut cukup menggambarkan identiti NUR26 yang tidak mahu meletakkan unsur hiburan dan kerohanian sebagai dua perkara yang terpisah. Sebaliknya, kedua-dua elemen itu disatukan supaya mesej yang dibawa dapat dinikmati menerusi pengalaman yang lebih kreatif.
Bagi generasi yang membesar dalam dunia teknologi dan kandungan digital, pendekatan sebegini dilihat lebih dekat dengan cara mereka menikmati sesuatu persembahan. Elemen muzik, visual, multimedia serta seni persembahan menjadi jambatan untuk membawa mesej Islam kepada khalayak dalam suasana yang lebih moden tanpa mengetepikan nilai dan adab yang menjadi asas program.
Dari Podcast Tausiah Hingga Kanvas Seni Islam, NUR26 Ada Pelbagai Pengisian

Bukan sekadar persembahan pentas, NUR26 turut menyediakan pelbagai aktiviti yang mengajak pengunjung berinteraksi secara langsung dengan kandungan kerohanian sepanjang program berlangsung.
Antara pengisian yang diketengahkan ialah Pencarian Urban Muazzin, Podcast Tausiah dan Ibrah bersama Ustaz Jalal Zaiki serta Ustaz Izmir Fareez. Program ini turut menampilkan Refleksi Quran bertemakan “Dari Mata Turun ke Hati” bersama Ustaz Husaini Mahmur dan Ustaz Ahmad Tirmizi Haji Ali, selain Satu Hati, Satu Saf.
Pendekatan tersebut menjadikan NUR26 lebih daripada sekadar acara untuk ditonton. Pengunjung turut diberikan ruang untuk mendengar, berfikir, berinteraksi dan menghayati mesej yang disampaikan menerusi pelbagai bentuk kandungan.

Kemuncak program di Laman Beringin pula bakal menampilkan Kanvas Seni Islam yang menghimpunkan elemen berzanji, marhaban, qasidah, tarannum, nasyid dan sketsa dalam sebuah persembahan santai berteraskan nilai Islam.
Dalam masa sama, Mualamat Corner dan Resonansi Quran turut menjadi sebahagian daripada pengalaman yang ditawarkan kepada pengunjung.
Satu lagi pengisian yang cukup menarik perhatian ialah Letter to Rasulullah, menerusi aktiviti ini pengunjung berpeluang menulis nota berdasarkan tema “Kalau saya dapat berjumpa dengan Rasulullah…”
Nota yang dihasilkan kemudiannya akan dipamerkan menerusi Wall of Love Rasulullah. Konsep ini memberikan peluang kepada pengunjung untuk meluahkan kecintaan dan rasa rindu kepada Rasulullah SAW dalam bentuk tulisan yang lebih peribadi.
Meski kelihatan sederhana, namun idea tersebut mempunyai nilai emosi yang kuat. Terutamanya dalam suasana program yang dipenuhi muzik, persembahan dan aktiviti, ruang untuk berhenti seketika dan menulis tentang Rasulullah SAW memberikan pengalaman yang lebih dekat di hati.
Barisan Selebriti dan Ikon Islam Meriahkan Hijrah Malam Cinta Rasul

NUR26 turut menghimpunkan barisan selebriti serta ikon Islam yang pastinya menjadi antara tarikan utama program tersebut.
Antara nama yang terlibat ialah Ahmad Fetri Yahya, Ustaz Hariri Daud, Ustaz Mohamad Yusuf Kassim, Heliza dan Hazwani Helmi, Wan Sharmila, Inteam, Hijjaz, NowSeeHeart, Faheem, Zayne, Al Maqari serta Ustaz Azraie Abdul Hak sekeluarga.
Kehadiran barisan nama daripada latar hiburan, dakwah dan seni Islam ini memberikan warna tersendiri kepada NUR26. Malah, ia turut memperlihatkan bagaimana program tersebut cuba menghimpunkan pelbagai kelompok masyarakat dalam satu ruang yang sama.
Bagi yang tidak berkesempatan hadir secara fizikal, NUR26 turut mempunyai capaian lebih luas menerusi kerjasama strategik bersama TV AlHijrah dan IKIMfm.
Program ini akan disiarkan secara langsung menerusi kedua dua platform berkenaan, sekali gus membolehkan masyarakat mengikuti kemeriahan program dari lokasi masing-masing.
Pengunjung yang hadir ke Istana Budaya juga boleh mengunjungi reruai rakan strategik di ruang lobi Bangunan Panggung. Antara yang terlibat ialah Tabung Haji, Kementerian Dalam Negeri, Islamic Tourism Centre, Tourism Malaysia dan Cinta Gaza Malaysia.
Menampilkan gabungan persembahan, pengisian kerohanian, aktiviti komuniti dan pengalaman seni yang lebih segar, NUR26 dilihat sebagai sebuah usaha menarik untuk membawa sambutan Maulidur Rasul lebih dekat kepada masyarakat, khususnya generasi muda.
Jadi, jika Havoxians mencari pengalaman berbeza untuk menghayati sambutan Maulidur Rasul tahun ini, Nuansa Urban Rohani 2026, Hijrah Malam Cinta Rasul bakal berlangsung pada 25 Ogos 2026 di Lambang Sari dan Laman Beringin, Istana Budaya.
Selain menyaksikan barisan selebriti dan ikon Islam, pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai pengisian kerohanian, seni dan aktiviti interaktif yang dirangka khas menerusi NUR26.
Alhamdulillah