
Bayangkan hujung minggu yang menghimpunkan deruman enjin, aksi drift, persembahan hip hop secara terbuka, budaya B Boy, bola sepak gaya bebas dan peluang untuk membawa pulang sebuah Nissan Cefiro A31 yang sudah disiapkan untuk dipandu serta drift.
Itulah yang bakal ditawarkan MotorManiac Festival 2026, yang kembali untuk edisi kelima dengan skala lebih besar dan cita rasa yang semakin melangkaui dunia automotif.
Jika sebelum ini festival automotif sering dikaitkan dengan pameran kereta, komponen prestasi dan komuniti peminat jentera, MotorManiac 2026 memilih pendekatan berbeza dengan menyatukan beberapa elemen budaya urban dalam satu pentas.
Kehadiran nama besar seperti Joe Flizzow, SonaOne dan ALYPH bersama barisan pelumba drift antarabangsa menjadikan festival ini bukan lagi sekadar destinasi buat kaki kereta, sebaliknya sebuah acara gaya hidup yang menyasarkan generasi muda dan komuniti kreatif.
Lebih menarik, penganjuran edisi kali ini turut menyaksikan beberapa pengumuman besar yang menunjukkan hala tuju MotorManiac untuk berkembang sebagai sebuah ekosistem automotif.
Malah, daripada penubuhan akademi drift hinggalah pengenalan aplikasi digital dan produk bateri baharu, MotorManiac dilihat sedang membina sesuatu yang jauh lebih besar daripada sekadar sebuah festival tahunan.
MotorManiac 2026 Gabungkan Automotif Dan Hip Hop Dalam Satu Festival

Antara tarikan paling mencuri perhatian ialah kerjasama MotorManiac bersama DEF JAM Southeast Asia sebagai Rakan Pentas Rasmi yang bakal menghidupkan festival menerusi persembahan muzik secara open air.
Barisan artis yang dijadualkan membuat persembahan termasuk Joe Flizzow, SonaOne, ALYPH, Ismail Izzani, Killa Driz, Lil J, Yonnyboii, AbangSapau dan DJ CZA.
Menurut, Pengarah MotorManiac Mikhail Faizi (Mike) gabungan ini memberikan festival tersebut identiti yang lebih segar kerana pengunjung bukan sahaja datang untuk melihat jentera berprestasi tinggi, tetapi turut dapat menikmati persembahan muzik dalam suasana festival terbuka.
“MotorManiac bukan sekadar tentang kereta. Kami mahu membangunkan ekosistem, menyuburkan komuniti dan mewujudkan trend,” kata Mike.
Kerjasama dengan DEF JAM Southeast Asia turut diteruskan menerusi koleksi barangan eksklusif MotorManiac 2026 yang terdiri daripada 12 SKU. Kehadiran elemen fesyen dan muzik ini secara tidak langsung memperkukuhkan kedudukan MotorManiac sebagai sebuah jenama yang cuba merapatkan dunia automotif dengan budaya urban.
Dalam masa sama, budaya jalanan turut diberi ruang menerusi Jom Battle sebagai Rakan Rasmi B Boy yang diketuai Sora, selain Keep It Street by Zeem Ahma, Atlet Red Bull Malaysia dalam sukan bola sepak gaya bebas itu bakal mengetengahkan persembahan yang memperlihatkan bagaimana kemahiran, kreativiti dan budaya jalanan boleh bergerak seiring dengan dunia automotif.
MotorManiac Drift Academy Buka Laluan Baharu Pelumba Malaysia

Jika persembahan muzik menjadi antara tarikan utama kepada pengunjung umum, pengumuman MotorManiac Drift Academy pula membawa makna yang lebih besar kepada komuniti sukan bermotor tempatan.
CEO Bateriku, Azarol Faizi Zakaria Ansari berkata, akademi berkenaan merupakan salah satu ahli pengasas World Drift School Alliance atau WDSA, sebuah kerjasama yang menghimpunkan Malaysia, Indonesia, Amerika Syarikat dan Belanda. Inisiatif ini dirangka untuk membuka laluan pembangunan yang lebih tersusun kepada generasi baharu pelumba drift Malaysia.
Barisan tenaga antarabangsa yang terlibat juga bukan calang-calang. Ia menghimpunkan Rome Charpentier, pelumba Formula Drift PRO1 dari Amerika Syarikat, Vernon Zwaneveld yang merupakan hakim drift antarabangsa bertauliah FIA serta jurulatih drift, Dika Champion dari Indonesia dan Alvito Hardianto yang turut mempunyai nama dalam arena drift Indonesia.

Kehadiran mereka memberikan dimensi antarabangsa kepada akademi tersebut, khususnya menerusi latihan berstruktur, program pertukaran pelajar dan peluang pembangunan profesional.
Lebih jauh, laluan yang dibangunkan melalui WDSA membuka peluang kepada pelajar untuk mendapatkan pendedahan kepada pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa termasuk Jepun serta Amerika Syarikat.
Bagi komuniti drift, langkah ini boleh menjadi antara perkembangan paling menarik daripada MotorManiac 2026 kerana fokusnya bukan sekadar mempertontonkan aksi di litar, tetapi turut membina bakat untuk jangka panjang.
Nissan Cefiro A31 Jadi Rebutan, MotorManiac Turut Lancar Aplikasi Dan ASTRA X

Selain muzik dan drift, satu lagi perkara yang dijangka menjadi perhatian pengunjung ialah cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah Nissan Cefiro A31 yang telah dibangunkan khas oleh pasukan MotorManiac untuk dipandu dan digunakan bagi aktiviti drift.
Mekanismenya juga mudah. Setiap pembelian barangan rasmi MotorManiac bernilai RM50 memberikan satu peluang untuk menyertai cabutan bertuah tersebut.
Bukan hanya Nissan Cefiro A31, pengunjung turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah lain termasuk GGR Electric Bike, Teg Suspension Kit, Young Wrap Car Wrap, OMP Racing Helmet, Defi Meter Set serta peralatan Teg daripada DeWALT.
Dalam masa sama, MotorManiac turut mengumumkan aplikasi digitalnya yang dibangunkan sebagai platform automotif sehenti. Aplikasi tersebut menghubungkan peminat automotif, jenama dan rakan antarabangsa dalam satu ekosistem yang menawarkan fungsi seperti pembelian tiket, barangan rasmi, komponen prestasi, penjualan jentera dan forum komuniti.
Beberapa pemain industri termasuk DeWalt dan Works Engineering juga telah menyertai platform tersebut, memperlihatkan usaha MotorManiac untuk membawa komuniti automotif daripada ruang fizikal kepada ekosistem digital.
Tidak berhenti di situ, ASTRA X turut diperkenalkan sebagai produk bateri lithium iron phosphate atau LFP yang dibangunkan untuk kegunaan automotif berprestasi tinggi, khususnya dalam perlumbaan dan drift.
Bateri tersebut direka untuk menjadi ringan serta tahan lasak, selain mampu terus membekalkan tenaga kepada jentera ketika berlaku kegagalan alternator. Ia juga boleh dipulihkan selepas mengalami deep discharge, menjadikannya satu lagi produk yang menyasarkan keperluan jentera dalam situasi kompetitif.
Keseluruhan pengumuman ini menunjukkan satu perkara yang jelas. MotorManiac 2026 sedang bergerak keluar daripada definisi festival automotif konvensional. Ia cuba membina ruang yang menggabungkan komuniti, hiburan, sukan bermotor, teknologi, produk dan budaya urban dalam satu ekosistem.
Sekadar info Havoxians, dengan sasaran kehadiran lebih 40,000 peminat automotif, MotorManiac Festival 2026 akan berlangsung selama dua hari pada 5 dan 6 September 2026 di Rooftop, Aras 7, MyTOWN Kuala Lumpur.
Festival ini dianjurkan oleh Bateriku dengan Astra sebagai Penaja Utama, Petronas Syntium sebagai Penaja Bersama dan Lazada sebagai Rakan Tiket Rasmi, selain mendapat sokongan MOTAC.
Tiket pula ditawarkan pada harga RM30 untuk satu hari dan RM50 bagi akses dua hari. Pengunjung boleh mendapatkan tiket serta barangan rasmi menerusi rakanbateriku.com, aplikasi Lazada atau pembelian secara walk in.