
Dalam dunia yang semakin bergerak pantas, manusia bukan sahaja berdepan dengan tekanan kehidupan, malah turut berhadapan dengan pelbagai pengaruh yang datang melalui skrin, media sosial dan persekitaran sekeliling.
Lebih merisaukan apabila budaya menunjuk-nunjuk di media sosial hinggalah kecenderungan menghakimi orang lain tanpa memahami sesuatu perkara secara menyeluruh semakin berleluasa.
Persoalannya, sejauh mana kita benar-benar sedar bahawa perkara yang dianggap biasa itu sebenarnya sedang membentuk cara kita berfikir dan bertindak?
Persoalan tersebut menjadi nadi kepada karya terbaharu “Serangan Radikal”, hasil kolaborasi dua nama dalam dunia hip hop tempatan, Eddie G dan Chubb-E.
Diterbitkan oleh Luncai Emas, single ini tampil dengan pendekatan hip hop sosial yang santai tetapi sarat dengan pemerhatian terhadap realiti masyarakat moden.
Tidak memilih pendekatan yang terlalu berat, kedua-dua artis berkenaan menyampaikan teguran melalui bait lirik yang bersahaja, dekat dengan kehidupan seharian dan mudah difahami pendengar.
Lebih menarik, istilah “Serangan Radikal” sendiri bukan merujuk kepada serangan secara fizikal, sebaliknya membawa maksud yang lebih bersifat konseptual, iaitu bagaimana muzik dan lirik boleh menjadi satu bentuk serangan terhadap pemikiran.
‘Serangan Radikal’ Jadikan Hip Hop Senjata Halus Perbetul Realiti Sosial

Bagi Eddie G, konsep di sebalik “Serangan Radikal” lahir daripada pemerhatian terhadap perubahan kehidupan manusia yang semakin dipengaruhi oleh persekitaran sosial.
Menurutnya, “serangan” yang dimaksudkan menerusi karya ini berlaku melalui pemikiran dan mesej yang ingin disampaikan kepada pendengar.
“Serangan radikal ini adalah satu bentuk serangan minda tanpa sebarang arahan fizikal untuk menyampaikan mesej. Kita kini menetap di era baharu yang dipenuhi pelbagai liku yang perlu ditempuh oleh setiap manusia,” katanya.
Eddie G turut melihat masyarakat hari ini sebagai kelompok yang sentiasa terdedah kepada pelbagai pengaruh, sama ada secara langsung mahupun melalui dunia digital.
“Serangan Radikal” kemudian mengambil realiti tersebut sebagai bahan untuk diterjemahkan ke dalam bentuk muzik. Pendekatan ini selari dengan identiti Eddie G yang dikenali menerusi penulisan bersifat penceritaan sosial.
Lirik yang dihasilkan bersama Chubb-E menyentuh pelbagai situasi yang boleh ditemui dalam kehidupan seharian, termasuk fenomena media sosial, budaya menunjuk-nunjuk, perasaan cemburu, cabaran di tempat kerja, ketagihan terhadap hiburan serta kecenderungan membuat penilaian terhadap sesuatu perkara tanpa mempunyai ilmu yang mencukupi.
Menariknya, teguran tersebut tidak disampaikan dengan pendekatan yang terlalu mengajar atau menghakimi. Sebaliknya, kedua-dua artis memilih untuk membiarkan pendengar mengenal pasti sendiri situasi yang disentuh menerusi lagu berkenaan.
Pendekatan sedemikian menjadikan “Serangan Radikal” lebih dekat dengan sifat hip hop yang sejak sekian lama mempunyai ruang untuk membicarakan realiti masyarakat melalui perspektif artis.
Eddie G dan Chubb-E Satukan Dua Perspektif Sosial Dalam Karya Hip Hop

Kolaborasi Eddie G dan Chubb-E turut memberikan warna tersendiri kepada “Serangan Radikal”, terutama apabila kedua-duanya membawa latar pengalaman serta perspektif berbeza dalam industri muzik.
Eddie G atau Eddie Ghiller terlebih dahulu mencipta nama bersama kumpulan Tiga Swagger sebelum meneruskan perjalanan sebagai artis solo. Antara karya yang pernah dihasilkannya termasuk “Cerita Sama”, “Setiap Waktu Engkau Gemerlap (S.W.E.G.)” dan “Yataghayar” yang menampilkan Asfan Shah.
Identitinya sebagai seorang penulis lagu yang gemar mengetengahkan elemen penceritaan sosial turut menjadi antara kekuatan yang dibawa ke dalam karya terbaharu ini.
Di luar muzik pula, Eddie G mempunyai minat mendalam terhadap budaya skateboarding yang turut mempengaruhi gaya streetwear serta estetika kreatifnya.
Sementara itu, Chubb-E atau Muhammad Sharul Ashlyn mempunyai perjalanan seni yang lebih pelbagai. Namanya mula mendapat perhatian selepas menjuarai program Ceria Megastar sebelum menerima pengiktirafan menerusi anugerah Artis Baharu Lelaki Popular ABPBH 33.
Penglibatannya dalam siri Projek: Anchor SPM turut mengukuhkan lagi profilnya sebagai seorang penggiat seni yang tidak terhad kepada bidang muzik semata-mata.
Chubb-E juga aktif sebagai komposer dan penerbit muzik, selain menghasilkan beberapa karya yang mendapat perhatian pendengar seperti “Padan Muka”, “Aku Tak Kisah”, “Tiada Noktah” serta kolaborasi “Biru Malam” bersama Amir Masdi.
Menurut Chubb-E, tajuk “Serangan Radikal” pula membawa falsafah tersendiri dalam cara mereka menyampaikan mesej melalui muzik.
“Bagi saya, maksud serangan radikal itu adalah menjadi satu senjata yang berbeza daripada yang lain. Ia merujuk kepada cara serangan yang sukar diramal serta sentiasa berada di atas garisan sendiri,” jelasnya.
Gabungan dua perspektif tersebut memberikan identiti tersendiri kepada lagu berkenaan. Eddie G membawa kekuatan penceritaan sosial, manakala Chubb-E hadir dengan pengalaman sebagai artis, komposer dan penerbit muzik.
Bukan Menyerang Sesiapa, ‘Serangan Radikal’ Ajak Pendengar Cermin Diri

Walaupun menggunakan perkataan “radikal” pada judul, karya ini tidak dibina untuk menyerang mana-mana individu atau pihak tertentu.
Sebaliknya, “Serangan Radikal” berfungsi sebagai satu bentuk refleksi terhadap cara manusia menjalani kehidupan dalam suasana sosial yang semakin dipengaruhi oleh teknologi, media dan perubahan budaya.
Antara isu yang diketengahkan termasuklah budaya mempamerkan kehidupan di media sosial, sifat cemburu, tekanan dalam dunia pekerjaan, kecenderungan mencari hiburan secara berlebihan serta sikap mudah membuat kesimpulan terhadap sesuatu perkara.
Kesemua perkara tersebut mungkin kelihatan kecil secara berasingan, namun apabila menjadi sebahagian daripada rutin harian, ia boleh mempengaruhi cara seseorang melihat diri sendiri dan orang lain.
Atas dasar itu, lagu ini tidak meletakkan dirinya sebagai jawapan kepada semua permasalahan sosial. Sebaliknya, ia membuka ruang kepada pendengar untuk berhenti seketika dan melihat semula persekitaran yang selama ini dianggap normal.
Pendekatan tersebut turut menjadikan mesej lagu lebih terbuka kerana setiap pendengar boleh mentafsir lirik berdasarkan pengalaman masing-masing.
Hak cipta lagu dan lirik “Serangan Radikal” adalah di bawah Luncai Emas, manakala keseluruhan karya ini menjadi antara usaha terbaharu untuk meneroka sisi hip hop yang lebih bersifat pemerhatian sosial.
“Serangan Radikal” kini boleh didengarkan Havoxians di pelbagai platform penstriman muzik utama termasuk Spotify, Apple Music, YouTube Music dan KKBOX.
Manakala, Video muzik rasmi lagu berkenaan turut boleh ditonton menerusi saluran YouTube Luncai Emas.