
Kehadiran kumpulan rock legenda OAG dalam barisan artis Metalverse 2026 bukan sekadar menambah satu lagi nama besar dalam senarai persembahan, sebaliknya membawa makna yang lebih mendalam tentang kesinambungan muzik rock di Malaysia.
Festival muzik berskala antarabangsa yang dijadualkan berlangsung selama dua hari, bermula 30 April hingga 1 Mei 2026, itu bakal menyaksikan OAG tampil dengan pendekatan berbeza, termasuk perancangan istimewa dari segi persembahan, penampilan serta kemungkinan elemen metal yang jarang dikaitkan dengan band tersebut sebelum ini.
Menurut vokalis OAG, Radhi, Metalverse membuka ruang baharu untuk mereka bereksperimen dan keluar daripada kebiasaan.
Meskipun OAG dikenali sebagai band rock alternatif, minat awal Radhi terhadap muzik metal menjadi antara faktor yang mendorong mereka melihat festival ini sebagai satu peluang menarik untuk terlibat sama.
“Sebelum saya masuk muzik alternatif, saya memang minat muzik metal seperti Metallica. Jadi untuk Metalverse, mungkin OAG akan buat sesuatu yang berbeza, mungkin cover lagu metal, tetapi itu masih dalam perancangan. Tiada janji,” katanya.
Dari Metallica ke Metalverse: Keberanian OAG Bereksperimentasi

Radhi mengakui tawaran untuk menyertai Metalverse pada awalnya mengundang rasa terkejut, memandangkan festival tersebut sinonim dengan muzik metal dan komuniti rockers.
Namun selepas menilai konsep dan hala tuju festival itu, OAG melihat Metalverse sebagai platform yang sesuai untuk memperluaskan sempadan muzik mereka.
“Pada mulanya saya terfikir juga, aku tak metal beb, gua ‘mental’,” ujarnya berseloroh.
Tambahnya, mungkin ada yang melihat OAG sebagai “metal tanpa huruf N”, menjadikan Metalverse satu ruang yang sesuai untuk mencuba, bereksperimen dan memberikan kelainan kepada persembahan mereka.
Walaupun kemungkinan elemen metal masih bersifat terbuka, OAG tetap merancang untuk menyesuaikan persembahan mereka dengan konteks festival, termasuk pemilihan lagu serta susunan muzik yang lebih bertenaga.
Namun jelasnya, fokus utama OAG ketika ini bukan hanya kepada lagu-lagu lama, sebaliknya kepada karya baharu yang bakal diperkenalkan kepada peminat.
Demo Album Terbaharu: OAG Hidupkan Semula Budaya Muzik 90-an

Antara pengumuman paling signifikan yang dikongsikan Radhi ialah perancangan OAG untuk melancarkan sebuah Demo Album sebelum Metalverse 2026.
Album tersebut menandakan kembalinya pendekatan lama yang pernah menjadi budaya dalam industri muzik era 90-an, iaitu berkongsi versi draf lagu dengan peminat sebelum album penuh diterbitkan.
“Zaman dulu, sebelum keluar album penuh, kita akan buat demo dahulu. Jadi untuk kali ini, OAG mahu hidupkan semula budaya itu. Demo album ini adalah draf untuk peminat dengar dan beri pandangan sebelum versi penuh,” jelas Radhi.
Demo album tersebut bakal memuatkan lima lagu baharu berjudul Serikandi, Wanabe, Stardust, Hospitaliti dan Sholawat, dengan kebanyakan rangka asas lagu dihasilkan sendiri oleh Radhi.
Langkah ini bukan sahaja menunjukkan keterbukaan OAG terhadap maklum balas peminat, malah membuktikan kesungguhan mereka untuk terus relevan dan berkembang, bukan sekadar bergantung kepada nostalgia semata-mata.
Rock Tak Pernah Mati: Peranan ‘Lagenda’ Dalam Festival Masa Kini

Mengulas tentang relevansi muzik rock, Radhi menegaskan bahawa genre tersebut kekal hidup kerana sifatnya yang luas dan sentiasa berevolusi. Daripada blues rock, soft rock, pop rock hingga pelbagai cabang lain, muzik rock sentiasa menemui jalannya dalam setiap generasi.
“Saya membesar pada era 80-an, zaman ‘rock never die’. Sampai sekarang pun, rock masih relevan. Bukan sahaja di Malaysia, tetapi di seluruh dunia,” katanya.
Radhi turut berpandangan bahawa festival seperti Metalverse wajar menjadi ruang penyatuan antara generasi lama dan baharu, termasuk menampilkan lebih banyak legenda rock tempatan pada masa hadapan.
Antara nama yang disebutnya termasuk Search, Wings, Lefthanded, Amuk dan Ramli Sarip, yang dilihat mampu memberi nilai sejarah serta inspirasi kepada generasi muda.
Di sebalik semua perancangan besar itu, Radhi kekal dengan falsafah hidup yang sederhana dalam meneruskan kerjaya seni. Baginya, setiap tawaran persembahan adalah rezeki yang perlu dihargai.
“Saya jarang menolak kerja. Apa sahaja, akapela, minus satu, miming, semua saya buat. Kalau tolak, macam tolak rezeki pula. Industri kita kecil, jadi kena terus bekerja,” katanya.
Dengan gabungan semangat 90-an, karya baharu dan keterbukaan untuk bereksperimen, kehadiran OAG di Metalverse 2026 menjadi bukti jelas bahawa rock tidak pernah mati — ia cuma berevolusi, menyesuaikan diri dan terus menemukan khalayak baharu di setiap pentas zaman.

Sebagai makluman, Metalverse dianjurkan oleh Vox Nation Live dan diwujudkan sebagai platform eksklusif untuk meraikan budaya metal dan punk yang bukan sekadar genre muzik, tetapi sebuah komuniti.
Bagi Havoxians serta peminat muzik metal dan punk yang ingin merasai pengalaman festival muzik berat bertaraf antarabangsa tanpa perlu ke luar negara, Metalverse menjanjikan sebuah pertemuan eksklusif yang menggabungkan tenaga, komuniti dan persembahan live berimpak tinggi dalam satu ruang.
Festival dua hari ini bakal berlangsung pada 30 April hingga 1 Mei 2026 di Megastar Arena Kuala Lumpur, dari jam 3.00 petang hingga 12.00 tengah malam.
Tiket dan maklumat lanjut boleh didapati menerusi platform rasmi Ticketmelon, dan Havoxians disarankan untuk mendapatkan tiket lebih awal bagi memastikan tempat dalam festival yang disifatkan sebagai permulaan kepada era baharu muzik metal dan punk di Malaysia.