
Gurauan boleh mencuit hati, tetapi adab tetap nombor satu.
Itu penegasan Datuk Awie susulan tular video TikTok Putra Ahmad Merrah bersama Zaki Yamani yang meniru gaya serta suara bapa masing-masing.
Bagi Awie, hiburan atau gurauan yang melewati batas akan mengundang salah faham. Katanya, bergurau ada hadnya dan keterlaluan hanya akan membuka ruang dan pintu kepada tafsiran negatif.
“Kadang-kadang benda ini kita gurau. Tapi kalau terlampau-lampau, ia jadi melampaukan. Saya anggap ini satu gurauan. Tapi adab kena jaga, sopan santun kena jaga. Jangan langgar batas,” tegas Awie.
Awie berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Doa Selamat & Latihan Akhir Konsert Orang Kita di Ampang, baru-baru ini.
Tambahnya lagi, sebagai seorang bapa, dia lebih memilih pendekatan ‘berkawan’ dengan anak-anak agar hubungan lebih terbuka dan telus.
Menurut Awie, terlalu tegas sebagai ibu bapa hanya akan mewujudkan jurang emosi, sekali gus menyukarkan komunikasi dalam keluarga.
“Kalau kita serius sangat sebagai bapa, macam tak ada hari esok mereka nak berbual dengan kita. Susah juga. Jadi saya bebaskan mereka, tapi dengan kawalan,” katanya.
Pendekatan ini, kata Awie, bukan bermakna memberi kebebasan mutlak, sebaliknya membina kepercayaan namun masih mempunyai panduan.
Merrah Mampu Cipta Nama Sendiri Tanpa Tumpang Populariti ‘Wings’

Ditanya sama ada Merrah, 19, bakal diberi peluang tampil menyanyi bersama Wings di pentas konsert, Awie tampil dengan pendirian yang jelas dan tegas — tidak. Bukan kerana menutup peluang, tetapi kerana mahu anaknya belajar membina nama tanpa bergantung kepada legasi Wings.
Menurut Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 57, Wings bukan platform untuk menaikkan ahli keluarga.
“Lebih baik Merrah belajar dulu dan cari peluang sendiri. Untuk saya ketengahkannya di pentas Wings, itu tidak mungkin berlaku. Kecuali mungkin sebagai penyanyi latar di belakang,” jelasnya.
Awie menegaskan, sekiranya Merrah dibawa menyanyi di pentas utama, ia berisiko mengundang persepsi negatif, termasuk dakwaan ‘bisnes keluarga’ yang boleh menjejaskan keharmonian kumpulan.
“Nanti orang kata saya nak promote anak. Sedangkan Wings bukan perniagaan keluarga. Saya tak mahulah ada benda-benda macam itu,” katanya lagi.
Tambah Awie, persepsi sebegini bukan sahaja tidak adil kepada anggota Wings lain, malah berpotensi mencetuskan konflik dalaman — sesuatu yang ingin dielakkannya sejak awal.
Baginya, jalan terbaik ialah membiarkan Merrah mencari rezeki dan membina identiti seni sendiri, sementara dia terus fokus dengan kerjayanya bersama Wings.
“Biar dia cari rezeki sendiri, saya cari rezeki saya. Tapi sebagai ayah, saya tetap akan sokong kerjaya seni dia.”
Tular Dengan Siti, Fokus Kekal Pada Wings
Sebelum ini, nama Merrah menjadi bualan apabila video nyanyiannya bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza membawakan lagu Senja Nan Merah tular di media sosial. Ramai melihatnya sebagai petanda awal bakat dan potensi yang dimiliki anak lelaki Awie itu.
Namun bagi Awie, populariti segera bukan tiket automatik ke pentas besar. Katanya, terlalu awal membuka ruang spekulasi hanya akan mengundang tekanan yang tidak perlu kepada anak muda seusia Merrah.
Dalam masa sama, Awie tidak menafikan bahawa sokongan keluarga sentiasa ada, cuma ia perlu disertai disiplin dan proses pembelajaran yang betul.
Sementara itu, fokus Awie kini kekal terarah kepada Konsert Wings Orang Kita anjuran Rumah Produksi Merah (RPM) yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 30 Januari ini. Konsert tersebut dijangka menjadi antara persembahan paling dinantikan peminat setia Wings.
Lebih menarik, konsert berkenaan turut akan mempersembahkan empat lagu baharu, sekali gus memberi gambaran hala tuju terkini kumpulan legenda rock tanah air itu.
Bagi Awie, apa jua yang melibatkan keluarga dan kerjaya seni perlu diurus dengan seimbang — antara sokongan, prinsip dan tanggungjawab. Dalam dunia hiburan yang pantas menghukum, garis adab itulah yang menjadi pelindung utama.