
Judulnya Patah Hati, namun kali ini Cherpen memilih untuk tidak terus berlarutan dalam kesedihan. Sebaliknya, kumpulan ini tampil berani dengan sisi yang lebih santai, segar dan luar biasa menerusi single terbaharu mereka.
Lebih menarik, karya berentak reggae ini digabungkan dengan elemen rap, sekali gus menandakan kolaborasi pertama Cherpen bersama penyanyi rap,Chubb-E. Gabungan ini bukan sahaja membuka lembaran baharu dalam perjalanan seni mereka, malah memperlihatkan keberanian Cherpen untuk mencuba sesuatu yang berbeza.
Malah, Patah Hati membuktikan kesediaan Cherpen untuk keluar daripada zon selesa. Pertemuan dua dunia muzik ini bukan sekadar satu eksperimen, tetapi satu langkah matang yang memperkukuh identiti Cherpen sebagai sebuah band yang kian berkembang dan berani berevolusi.
Dikenali sebelum ini menerusi lagu-lagu balada dan berentak perlahan seperti Pasti, Lepaskan dan Kali Ini, kemunculan Patah Hati hadir sebagai satu kejutan buat peminat yang sudah terbiasa dengan sisi melankolik kumpulan tersebut.
Kolaborasi ‘Spontan’ Berjaya Cipta Kelainan

Walaupun judul single ini sarat dengan emosi, Patah Hati tampil dengan susunan muzik ‘feel good’ yang mudah dihayati. Ia membuktikan bahawa kisah kekecewaan juga boleh disampaikan dengan pendekatan yang lebih santai dan ringan.
Menurut vokalis Cherpen, Nemo, kolaborasi bersama Chubb-E tercetus secara tidak dirancang ketika mereka sedang mengolah idea awal lagu berkenaan.
Tambahnya, elemen rap pada asalnya dimasukkan sekadar sebagai percubaan. Namun, selepas meneliti keseluruhan susunan lagu, Cherpen merasakan karya tersebut sememangnya memerlukan sentuhan seorang rapper.
“Kolaborasi ini bermula bila kami dapat idea semasa mula buat lagu Patah Hati. Pada mulanya, kami saja-saja tambah bahagian rap dan dari situ terfikir untuk cari seorang rapper.
Akhirnya, kami jumpa Chubb-E dan terus rasa serasi,” jelas Nemo.
Keserasian yang terjalin antara Cherpen dan Chubb-E ternyata memberi impak positif terhadap keseluruhan lagu. Elemen rap yang dibawakan Chubb-E bukan sahaja menjadi pelengkap kepada susunan muzik reggae yang santai, malah menambah satu dimensi emosi yang lebih mendalam terhadap mesej yang ingin disampaikan.
Proses rakaman juga berjalan lancar apabila kedua-dua pihak saling terbuka dalam berkongsi idea. Justeru, kolaborasi ini dilihat sebagai gabungan dua gaya muzik yang berbeza, namun berjaya disatukan dengan harmoni.
Kisah ‘Patah Hati’ Refleksi Realiti Ramai

Mengulas tentang pembikinan lirik, Patah Hati mengangkat tema kekecewaan dalam percintaan yang sememangnya amat dekat dengan realiti kehidupan ramai.
Menurut Nemo, inspirasi lagu ini hadir daripada pengalaman peribadi anggota band serta pemerhatian terhadap kisah orang di sekeliling mereka.
“Sedikit sebanyak ia memang berdasarkan pengalaman kami sendiri. Kalau kita tengok orang sekeliling, kebanyakannya pernah melalui fasa yang sama iaitu bercinta, putus dan akhirnya patah hati,” katanya.
Namun, di sebalik kisah kecewa yang diketengahkan, Patah Hati membawa mesej yang lebih positif dan matang.
Jelasnya, lagu ini bukan sekadar meluahkan kesedihan, sebaliknya mengajak pendengar untuk menghargai insan yang benar-benar ikhlas mencintai mereka.
“Mesej paling penting dalam lagu ini ialah hargailah orang yang ikhlas mencintai kita,” tambah Nemo.
Pendekatan ini menjadikan Patah Hati sebuah karya yang seimbang antara luahan emosi dan pengajaran, sesuai dengan pendengar yang pernah melalui fasa yang sama dalam kehidupan mereka.
Reggae ‘Feel Good’ Beri Harapan Baharu

Dari sudut susun atur muzik, pemilihan genre reggae dilihat sebagai satu langkah berani buat Cherpen. Berbeza dengan karya terdahulu yang lebih sinonim dengan balada, Patah Hati tampil dengan susunan muzik yang lebih santai dan bersahaja.
Menurut Nemo, perubahan ini dilakukan sebagai usaha untuk memberi kelainan kepada peminat serta membuktikan kemampuan Cherpen untuk bereksperimen tanpa mengorbankan identiti mereka.
“Sebelum ini, orang kenal Cherpen dengan lagu-lagu ‘slow’ tapi kali ini kami tampilkan lagu bergenre reggae dengan elemen santai dan bersahaja. Tajuknya Patah Hati tetapi muziknya lebih ‘feel good’ dan tidak terlalu muram,” katanya.
Sementara itu, Chubb-E pula menyifatkan kolaborasi ini sebagai satu pengalaman bermakna dalam perjalanan karier seninya.
Menurutnya, sebaik sahaja mendengar demo lagu tersebut, beliau terus tertarik dengan ‘vibes’ yang dibawakan.
“Bila Cherpen hubungi saya dan tunjukkan demo lagu ini, saya terus tertarik dengan ‘vibes’ lagu ini. Ia bukan sekadar lagu tentang kecewa tetapi tentang menghargai orang yang betul-betul ikhlas mencintai.
Proses rakaman pun sangat ‘smooth’ dan penuh idea,” katanya.
Chubb-E turut berharap agar kolaborasi ini dapat diterima baik oleh peminat kedua-dua pihak serta membuka ruang kepada lebih banyak kerjasama rentas genre pada masa hadapan.
Single Patah Hati nyanyian Cherpen ft Chubb-E terbitan Seventeen Eleven Music kini menjadi antara karya terbaharu yang boleh dinikmati peminat menerusi platform penstriman muzik, selain turut menemui pendengar di stesen-stesen radio tempatan.
Video muzik rasmi lagu ini juga tersedia untuk tontonan di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.