
Lebih dua dekad bukanlah perjalanan yang singkat untuk membina nama, mencipta kenangan dan meninggalkan kesan dalam hati peminat muzik tempatan.
Namun, setiap perjalanan pasti mempunyai penghujungnya, dan bagi vokalis 6ixth Sense, Adi Priyo, pentas yang selama ini menjadi tempatnya mencurahkan rasa bakal menyaksikan satu detik perpisahan yang cukup bermakna.
Pengumuman mengenai Konsert 6ixth Sense: Tak Bisa Memilihmu mengundang pelbagai perasaan dalam kalangan peminat. Ada keterujaan untuk menyaksikan persembahan berskala besar, namun pada masa yang sama, terselit rasa sebak apabila mengetahui konsert ini bakal menjadi persembahan terakhir vokalis Adi Priyo selepas lebih 20 tahun bersama kumpulan tersebut.
Konsert yang dianjurkan oleh Vamos Esports dengan kerjasama SVEN Asia Venture, dijadualkan berlangsung di Idea Live Arena pada 23 Januari 2027.
Pengumuman rasmi itu dibuat menerusi satu sidang media di Perdana Hotel KLCC, sekali gus membuka lembaran baharu bagi kumpulan berkenaan dan para peminat yang membesar bersama karya mereka.
Konsert Terakhir Jadi Detik Bersejarah, Sebelum 6ixth Sense Berjalan Tanpa Adi Priyo

Bagi Adi, keputusan untuk menamatkan perjalanan sebagai vokalis 6ixth Sense bukanlah sesuatu yang mudah serta keputusan yang diambil bukanlah dibuat secara terburu-buru.
Bagaimanapun, selepas lebih 20 tahun mencurahkan tenaga, masa dan emosi dalam industri muzik, penyanyi itu akhirnya memilih untuk mengundur diri serta mengumumkan detik yang bakal menutup satu bab penting dalam perjalanan seninya.
Menurut Adi, konsert di Idea Live Arena itu akan menjadi persembahan terakhirnya bersama kumpulan berkenaan.
“20 tahun bukanlah satu tempoh masa yang sekejap. Namun, setelah memikirkannya masak masak, saya ingin mengumumkan bahawa Konsert Tak Bisa Memilihmu di Idea Live Arena ini akan menjadi persembahan terakhir saya sebagai vokalis 6ixth Sense,” katanya.
Pengakuan itu memberikan makna yang lebih besar buat mereka yang memilih untuk hadir pada konsert berkenaan. Jika sebelum ini peminat hadir untuk menikmati lagu kegemaran dan menyanyi bersama, kali ini mereka berpeluang menyaksikan sendiri detik penutup perjalanan Adi sebagai vokalis kumpulan tersebut.
Adi turut menyifatkan konsert berkenaan sebagai ruang untuk menyampaikan penghargaan terakhir kepada peminat yang sentiasa menyokong perjalanan muziknya bersama 6ixth Sense.
“Oleh kerana ini adalah persembahan penutup tirai saya bersama band, saya mahu jadikan konsert ini satu persembahan yang paling jujur daripada saya buat anda semua.
Ia adalah luahan kasih sayang saya yang terakhir di atas pentas sebelum melepaskan mikrofon secara rasmi,” tambahnya.
Persoalannya, lagu manakah yang bakal mencetuskan momen paling menyentuh perasaan pada malam tersebut? Mampukah peminat menahan sebak apabila Adi menyampaikan persembahan terakhirnya bersama kumpulan yang telah sekian lama mereka kenali?
Konsert 6ixth Sense Tak Bisa Memilihmu Himpunkan Peminat Dua Generasi Dalam Satu Pentas

Malah, di sebalik nilai sentimental konsert ini, penganjur turut melihatnya sebagai peluang untuk mempertemukan kelompok peminat daripada generasi berbeza menerusi muzik dan hiburan secara langsung.
Ketua Pegawai Eksekutif Vamos Esports, Hanan Aziz, menjelaskan bahawa penglibatan syarikat itu dalam penganjuran konsert berkenaan merupakan sebahagian daripada strategi memperluas jenama daripada arena e sukan kepada sektor hiburan dan gaya hidup.
Menurut Hanan, langkah tersebut selari dengan sasaran Vamos untuk menjadi rakan kelab rasmi atau official club partner bagi Esports World Cup. Bagi mencapai aspirasi itu, syarikat berkenaan mahu membina jenama yang lebih menyeluruh dan mampu mendekati khalayak daripada pelbagai latar belakang.
“Visi utama kami adalah untuk menjadi official club partner bagi Esports World Cup, dalam mencapai standard antarabangsa itu, kami perlu melebarkan sayap sebagai brand lifestyle dan entertainment yang holistik.
Ini kerana peminat e sukan kami majoritinya terdiri daripada Gen Z dan Gen Alpha, 6ixth Sense pula mempunyai kelompok peminat daripada kalangan Millennials, jadi konsert ini akan menjadi titik pertemuan bagi menghimpunkan dua generasi ini,” ujar Hanan.
Pendekatan tersebut memperlihatkan bagaimana muzik mampu menjadi jambatan antara generasi. Bagi peminat yang mengikuti perjalanan 6ixth Sense sejak awal, konsert ini menawarkan peluang untuk mengimbau kenangan melalui lagu lagu yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.
Pada masa yang sama, generasi lebih muda juga berpeluang mengenali muzik kumpulan itu melalui persembahan secara langsung, sekali gus merasai pengalaman yang berbeza daripada mendengar lagu menerusi platform penstriman digital.
Gabungan dua kelompok penonton ini berpotensi mewujudkan suasana konsert yang lebih istimewa. Apabila peminat daripada usia dan latar belakang berbeza menyanyikan lagu yang sama, muzik bukan lagi sekadar hiburan, sebaliknya menjadi pengalaman bersama yang menghubungkan kenangan lama dengan generasi baharu.
Produksi Konsert 6ixth Sense Dirancang Dengan Susunan Audio, Seleksi Lagu dan Persembahan Khas
Menariknya, bagi memastikan malam bersejarah itu berjalan lancar, Vamos Esports bekerjasama dengan SVEN Asia Venture bagi mengendalikan aspek teknikal dan produksi konsert.
Penerbit Eksekutif SVEN, Syaqif Aimer, memaklumkan bahawa beberapa aspek penting telah diberikan perhatian, termasuk susunan audio, pemilihan lagu dan elemen persembahan khas untuk penonton.
Perancangan ini penting kerana sesebuah konsert yang menandakan perpisahan bukan sahaja bergantung pada senarai lagu popular. Kekuatan sesebuah persembahan turut terletak pada cara muzik disampaikan, suasana yang dibina dan pengalaman yang dibawa pulang oleh penonton selepas tirai ditutup.
Jelasnya, bagi peminat 6ixth Sense, seleksi lagu pastinya menjadi antara perkara yang paling dinantikan. Setiap karya membawa cerita dan emosi tersendiri, malah ada lagu yang mungkin mengingatkan mereka kepada fasa tertentu dalam kehidupan.
Malah, apabila lagu-lagu tersebut dipersembahkan dalam sebuah konsert yang mempunyai nilai sentimental, setiap melodi berpotensi membawa makna baharu. Lagu yang pernah didengar berulang kali mungkin terasa berbeza apabila dinyanyikan bersama ribuan peminat.
Lebih penting, konsert ini memberikan ruang kepada Adi untuk mengucapkan selamat tinggal melalui medium yang paling dekat dengan dirinya, iaitu muzik. Selain mengumumkan pengunduran, beliau turut memilih untuk menutup perjalanan bersama 6ixth Sense dengan sebuah persembahan yang dapat dikongsi secara langsung bersama peminat.
Justeru, Konsert 6ixth Sense: Tak Bisa Memilihmu berpotensi menjadi salah satu detik yang paling diingati oleh pengikut kumpulan tersebut. Ia bukan hanya tentang siapa yang berdiri di atas pentas, tetapi juga tentang kenangan yang tercipta sepanjang lebih dua dekad perjalanan muzik mereka.
Konsert 6ixth Sense: Tak Bisa Memilihmu bakal berlangsung pada 23 Januari 2027 di Idea Live Arena. Tiket akan mula dijual pada 28 Oktober 2026, jam 12 tengah hari menerusi Fantopia, harga bermula RM99 hingga RM199.
Havoxians yang mahu menjadi sebahagian daripada detik bersejarah ini boleh mendapatkan tiket sebaik sahaja jualan dibuka bagi menyaksikan persembahan terakhir Adi Priyo bersama 6ixth Sense secara langsung.