
Lagu patah hati Juicy Luicy nampaknya bakal bergema sekali lagi di Kuala Lumpur apabila kumpulan popular dari Indonesia itu mengesahkan kemunculan mereka menerusi sebuah konsert khas pada Januari tahun depan.
Sinonim dengan lagu seperti Lantas, Sialan, Tampar dan Tanpa Tergesa, Juicy Luicy mempunyai keistimewaan tersendiri dalam menghasilkan karya yang dekat dengan kisah cinta, kekecewaan dan kerinduan.
Jadi, tidak hairanlah lagu mereka mudah mendapat tempat dalam kalangan pendengar, khususnya mereka yang gemarkan muzik dengan lirik penuh makna.
Kali ini, peminat Malaysia berpeluang menyaksikan sendiri persembahan kumpulan berkenaan menerusi Konsert Lagu Wangi Dan Jalan Juicy Luicy Live In Kuala Lumpur yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 16 Januari 2027.
Juicy Luicy Kembali Ke Kuala Lumpur, Peminat Bakal Menikmati Malam Penuh Nostalgia

Berasal dari Bandung, Indonesia, Juicy Luicy ditubuhkan pada tahun 2010 dengan mengetengahkan gabungan muzik pop dan R&B yang menjadi identiti tersendiri kumpulan berkenaan.
Kumpulan ini dianggotai lima pemuzik berbakat iaitu Julian Kaisar selaku vokalis, Denis Ligia (gitar elektrik dan gitar akustik), Zamzam Y.M (saksafon dan gitar akustik), Bina Bagja (bes) serta Eggy Ramandha (dram).
Sepanjang perjalanan muzik mereka, Juicy Luicy membuktikan bahawa kekuatan sesebuah karya tidak semestinya bergantung kepada susunan muzik yang kompleks. Sebaliknya, kejujuran dalam menyampaikan cerita menerusi lirik dan melodi turut menjadi faktor yang membuatkan sesebuah lagu terus dekat dengan pendengar.
Keistimewaan tersebut juga menjadi antara sebab muzik mereka mendapat tempat dalam kalangan peminat di Malaysia.
Menurut Julian, kumpulan itu amat menghargai sokongan yang diberikan peminat tempatan sejak kemunculan pertama mereka di Malaysia pada 2023.
“Setiap kali berpeluang membuat persembahan di Kuala Lumpur, kami sentiasa menerima sambutan yang cukup bermakna dan ia menjadi antara pengalaman yang kami nantikan.
“Menerusi Konsert Lagu Wangi Dan Jalan Juicy Luicy Live In Kuala Lumpur kali ini, kami ingin membawa sesuatu yang istimewa buat peminat, khususnya menerusi rangkaian lagu yang telah menemani perjalanan muzik kami selama ini.
“Kami berharap dapat berkongsi satu malam yang penuh kenangan bersama semua yang hadir. Terima kasih kerana terus mendengar, menyokong dan menerima muzik Juicy Luicy. Kami tidak sabar untuk kembali bertemu anda di Kuala Lumpur,” katanya.
Kenyataan tersebut memperlihatkan betapa hubungan antara Juicy Luicy dan peminat Malaysia bukan sekadar terbina melalui persembahan di pentas, tetapi turut berkembang menerusi sokongan pendengar yang mengikuti perjalanan muzik mereka.
Lantas, Sialan Dan Tampar Bakal Hidupkan Kembali Cerita Di Sebalik Setiap Lagu

Antara kekuatan Juicy Luicy ialah kemampuan mereka menghasilkan karya yang mempunyai hubungan rapat dengan pengalaman kehidupan seharian.
Lagu Lantas misalnya, cukup sinonim dengan perasaan dan konflik dalam hubungan yang tidak semudah dijangka. Sementara itu, Sialan pula membawa nuansa emosi yang lebih dekat dengan pengalaman kecewa dan perasaan yang sukar dilepaskan.
Tidak ketinggalan Tampar, Tanpa Tergesa dan Lampu Kuning yang turut memperlihatkan kepelbagaian cerita serta pendekatan muzik kumpulan tersebut.
Setiap karya mempunyai identiti tersendiri, namun semuanya berkongsi satu keistimewaan iaitu kemampuan menghubungkan pendengar dengan perasaan yang mungkin pernah mereka lalui.
Inilah yang menjadikan persembahan secara langsung Juicy Luicy sesuatu yang dinantikan. Apabila lagu yang selama ini hanya didengari menerusi fon telinga atau dimainkan berulang kali dalam senarai muzik peribadi akhirnya dipersembahkan secara langsung, pengalaman tersebut pastinya memberikan dimensi berbeza.
Lebih daripada sekadar menyaksikan persembahan muzik, konsert ini berpotensi menjadi ruang untuk peminat mengimbau kenangan, meraikan perjalanan hidup dan menikmati karya yang pernah menemani pelbagai fasa perasaan.
Konsert Juicy Luicy Live In Kuala Lumpur 2027, Catat Tarikh 16 Januari!

Dianjurkan oleh AM.entertainment, Konsert Lagu Wangi Dan Jalan Juicy Luicy Live In Kuala Lumpur bakal berlangsung pada 16 Januari 2027 bertempat di Zepp Kuala Lumpur.
Kehadiran kumpulan dari Bandung itu pastinya menjadi peluang buat peminat tempatan menikmati sendiri persembahan secara langsung daripada barisan pemuzik yang terkenal dengan karya berunsur pop dan R&B.
Malah, rangkaian lagu mereka yang dekat dengan kehidupan mempunyai hubungan istimewa bersama pendengar Malaysia, malam tersebut dijangka menjadi satu pengalaman muzik yang penuh kenangan.
Havoxians yang pernah menjadikan lagu Juicy Luicy sebagai teman ketika jatuh cinta, menghadapi kekecewaan atau mengimbau seseorang dari masa lalu, inilah peluang untuk menghayati kembali karya kegemaran dalam suasana persembahan secara langsung.
Tiket Konsert Lagu Wangi Dan Jalan Juicy Luicy Live In Kuala Lumpur mula dijual pada 6 November 2026 menerusi platform rasmi Ticket2U.
Tiket ditawarkan pada harga RM148 (CAT 2), RM158 (CAT 4), RM168 (CAT 1) dan RM188 (CAT 3). Jadi, buat peminat yang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan Juicy Luicy secara langsung, dapatkan tiket masing masing dan bersedia untuk sebuah malam yang mungkin membawa kembali seribu satu cerita.
