
Ada lagu yang tidak pernah benar benar hilang daripada ingatan. Setiap kali dimainkan, ia membawa pendengar kembali kepada kisah cinta pertama, perpisahan, perkahwinan atau detik paling sukar dalam hidup.
Selama hampir tiga dekad, itulah yang dilakukan oleh Ungu menerusi deretan lagu malar segar mereka. Kini, kumpulan legenda Indonesia itu bakal meraikan perjalanan seni yang cukup panjang dalam Konsert Ungu 3 Dasawarsa Special Night in Kuala Lumpur yang bakal berlangsung pada 5 September 2026 di Idea Live Arena
Menariknya, konsert ini bukan sekadar meraikan legasi Ungu, malah membuka ruang kepada sebuah kolaborasi istimewa yang menyatukan dua generasi pemuzik Nusantara dalam satu malam penuh emosi. Malah, ada kisah yang bermula hanya dengan sebuah angan-angan kecil yang akhirnya menjadi momen paling bermakna dalam perjalanan karier seni Marsha Milan.
Impian Lama Marsha Milan Akhirnya Menjadi Realiti Bersama Ungu

Bagi Marsha, peluang tersebut bukan sekadar undangan membuat persembahan, sebaliknya impian yang pernah disimpan dalam diam akhirnya menjadi kenyataan.
“Rasa macam angan-angan kecil yang saya simpan dalam diam akhirnya menjadi kenyataan,” kata Masha.
Mengimbau detik menerima tawaran tersebut, Marsha mengakui beliau sendiri tidak pernah menyangka hasrat yang pernah terlintas ketika menyaksikan Pasha membuat persembahan di Gegar Vaganza akhirnya menjadi kenyataan.
Menurutnya, ketika itu beliau hanya membayangkan alangkah indahnya jika suatu hari nanti berpeluang berkongsi pentas dan berduet bersama vokalis Ungu tersebut. Namun, tanpa diduga, impian yang disimpan hanya dalam hati bertukar menjadi sebuah peluang yang nyata.
“Sejujurnya, bila Abang Pasha datang membuat persembahan di GV baru baru ini, saya ada di sana. Dalam hati saya sempat terfikir, bestnya kalau satu hari nanti dapat berkongsi pentas dan berduet dengan Abang Pasha. Jadi apabila saya menerima tawaran ini, saya rasa sangat gembira,” ujarnya.
Marsha menyifatkan peluang itu sebagai satu penghormatan besar memandangkan Ungu merupakan antara kumpulan paling berpengaruh di Nusantara. Lagu-lagu mereka bukan sahaja popular, malah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup jutaan peminat termasuk dirinya sendiri.
Menurut beliau, setiap karya Ungu membawa nilai sentimental yang sukar digantikan kerana muzik mereka sentiasa dekat dengan emosi pendengar.
Marsha Janji Persembahan Sarat Emosi Dan Nostalgia Bersama Peminat

Walaupun kini sedang memberi sepenuh perhatian terhadap persiapan menjelang Anugerah Juara Lagu ke 40, Marsha menegaskan beliau tetap komited untuk memberikan persembahan terbaik di pentas Ungu nanti.
Katanya, fokus utama ketika ini adalah AJL40 kerana tarikh acara tersebut lebih hampir, namun persiapan untuk konsert pada September akan diteruskan sejurus selepas itu.
Beliau turut mendedahkan bahawa pemilihan lagu solo masih berada di peringkat perbincangan kerana mahu mempersembahkan beberapa karya sendiri, manakala pemilihan lagu duet diserahkan sepenuhnya kepada pihak Ungu.
“Buat masa ini saya masih dalam proses memuktamadkan lagu-lagu untuk persembahan solo saya kerana saya ingin membawakan beberapa lagu sendiri pada malam itu. Untuk lagu duet pula, saya serahkan kepada Ungu kerana semua lagu mereka sangat ikonik dan penuh nostalgia,” katanya.
Marsha percaya kekuatan sebenar persembahan itu nanti bukan hanya terletak pada aspek vokal, tetapi bagaimana setiap lagu mampu membawa penonton kembali mengimbau pelbagai memori kehidupan.
Beliau berharap penonton dapat menikmati sebuah persembahan yang dipenuhi penceritaan, penghayatan dan detik nyanyian beramai ramai yang menjadi identiti setiap konsert Ungu.
“Saya harap semua orang dapat menikmati setiap detik persembahan bersama. Fokus utama kita termasuk saya sendiri adalah untuk benar benar menikmati konsert ini dan mengimbau kembali kenangan melalui lagu-lagu hebat yang akan dipersembahkan oleh Ungu,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau turut memaklumkan bahawa aspek penampilan masih belum diberikan perhatian sepenuhnya, namun memastikan dirinya akan tampil dengan identiti tersendiri pada malam berkenaan.
Konsert Ungu 3 Dasawarsa Tampil Dengan Kejutan Lagu Baharu

Selain menghimpunkan deretan lagu malar segar yang membesarkan nama Ungu selama tiga dekad, konsert kali ini turut menjanjikan satu kejutan eksklusif apabila kumpulan tersebut bakal mempersembahkan sebuah lagu baharu buat pertama kali kepada peminat.
Momen itu dijangka menjadi antara tarikan utama konsert kerana bukan sahaja meraikan sejarah panjang perjalanan seni Ungu, malah membuktikan kumpulan tersebut masih terus berkembang dan relevan dalam industri muzik sehingga hari ini.
Bagi Marsha, hampir setiap lagu Ungu mempunyai kisah tersendiri dalam kehidupan peminat.
“Kalau sebut sahaja lagu-lagu Ungu, memang terus teringat memori. Ramai yang menjadikan lagu mereka sebagai lagu tema perkahwinan, lagu putus cinta, atau teman ketika melalui pelbagai fasa kehidupan. Saya sendiri pun begitu,” tambahnya.
Beliau percaya sambutan ulang tahun ke 30 ini bukan sekadar meraikan kejayaan sebuah kumpulan muzik, malah menghimpunkan semula kenangan yang pernah dikongsi bersama jutaan peminat dari pelbagai generasi.
Sementara itu, Pengarah Konsert COMs Creative Studio, Zairul Addry Helmy berkata pemilihan Marsha sebagai artis jemputan diyakini mampu memberikan dimensi yang lebih istimewa kepada keseluruhan persembahan.
Menurutnya, kekuatan vokal dan penghayatan dimiliki Marsha mampu menyentuh emosi penonton, sekali gus menjadikan gandingan bersama Ungu antara momen yang paling dinantikan sepanjang konsert berlangsung.

“Marsha memiliki kekuatan vokal dan penghayatan yang mampu menyentuh emosi penonton. Kami percaya gandingan beliau bersama Ungu akan menjadi antara momen yang paling dinantikan pada malam konsert nanti, ujarnya”
Konsert Ungu 3 Dasawarsa Special Night in Kuala Lumpur bakal berlangsung pada 5 September 2026 di Idea Live Arena. Tiket masih boleh didapati Havoxians, namun jumlahnya semakin terhad selepas menerima sambutan menggalakkan daripada peminat.
Bagi yang ingin menyaksikan kolaborasi eksklusif antara Ungu dan Marsha Milan serta menikmati malam penuh nostalgia bersama lagu-lagu malar segar mereka, inilah peluang terbaik untuk menjadi sebahagian daripada detik bersejarah itu.