
Berlabuhnya tirai kehidupan sosok wanita yang selama lebih tujuh dekad menjadi teman setia kepada Tun Dr Mahathir Mohamad. Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, insan yang dikenali sebagai cinta hati, pendamping dan kekuatan di sisi bekas Perdana Menteri itu, pergi menghadap Ilahi pada usia genap 100 tahun.
Pemergian Allahyarhamah pada pagi Isnin bukan sekadar meninggalkan kesan buat keluarga, malah menutup rentetan kehidupan yang begitu panjang antara dua insan yang telah melalui sebahagian besar usia mereka bersama.
Kini, buat pertama kalinya selepas lebih tujuh dekad, Tun Dr Mahathir perlu meneruskan perjalanan tanpa wanita yang sekian lama menjadi tonggak utama dalam hidupnya.
Beliau pergi sebagai seorang wanita berusia satu abad, namun meninggalkan legasi yang jauh melangkaui angka tersebut. Seorang doktor, ibu, tokoh wanita, Wanita Pertama Malaysia dan paling utama, seorang isteri yang selama lebih 70 tahun memilih untuk terus berjalan di sisi insan yang dicintainya.
Tun Siti Hasmah pergi, meninggalkan cinta Tun Dr Mahathir, namun kekal hidup dan akan terus dikenang terpahat sentiasa di hati rakyat Malaysia.
Tun Siti Hasmah Hembuskan Nafas Terakhir Di IJN Pada Usia 100 Tahun

Dilahirkan pada 12 Julai 1926 di Klang, Selangor, Tun Siti Hasmah mencatat perjalanan hidup yang panjang dan penuh dengan sumbangan kepada masyarakat.
Allahyarhamah bukan sekadar dikenali kerana kedudukannya sebagai isteri kepada bekas Perdana Menteri Malaysia. Sebelum berada di sisi Tun Dr Mahathir dalam pentas kenegaraan, beliau terlebih dahulu membina nama sendiri sebagai seorang doktor dan antara wanita Melayu terawal yang menceburi bidang perubatan.
Menurut Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu di Malaysia, Tun Siti Hasmah merupakan antara doktor wanita Melayu terawal ketika Malaya, selain pernah menjadi pegawai perubatan wanita pertama dalam Jabatan Kesihatan Ibu dan Anak serta pegawai kesihatan ibu dan anak negeri wanita pertama. Beliau turut aktif memperjuangkan isu kesihatan luar bandar, kesihatan wanita dan perancangan keluarga.
Latar belakang tersebut menjadikan legasi Tun Siti Hasmah jauh lebih luas daripada gelaran yang disandangnya.
Beliau dikenang sebagai seorang wanita yang menggunakan latar belakang perubatannya untuk berkhidmat kepada masyarakat, termasuk dalam usaha meningkatkan kesedaran terhadap penjagaan kesihatan dan kebajikan keluarga.
Peranan itu terus menjadi sebahagian daripada identiti beliau walaupun selepas bergelar Wanita Pertama Malaysia.
Tujuh Dekad SETIA Bersama Tun Dr Mahathir, Kisah Cinta Agung Wajar Dikenang

Perjalanan rumah tangga Tun Siti Hasmah dan Tun Dr Mahathir turut menjadi antara kisah paling dikenali dalam sejarah pasangan negarawan Malaysia.
Mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos 1956 dan dikurniakan tujuh cahaya mata. Sepanjang lebih tujuh dekad bersama, Tun Siti Hasmah berada di sisi suaminya melalui pelbagai fasa kehidupan, termasuk ketika Tun Dr Mahathir memegang jawatan Perdana Menteri untuk dua penggal berbeza.
Tun Dr Mahathir pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia dari 1981 hingga 2003 sebelum kembali memegang jawatan tersebut pada 2018 hingga 2020. Sepanjang tempoh itu, Tun Siti Hasmah memainkan peranan sebagai Wanita Pertama Malaysia dan turut membawa suara beliau dalam isu berkaitan wanita, keluarga, kesihatan serta masyarakat.
Hubungan pasangan itu juga sering menarik perhatian kerana mereka terus kelihatan bersama walaupun usia semakin lanjut.
Pada Julai lalu, kedua duanya mencatat detik luar biasa apabila Tun Dr Mahathir mencapai usia 101 tahun dan Tun Siti Hasmah pula genap 100 tahun.
Mereka kemudiannya diraikan menerusi pengiktirafan sebagai pasangan centenarian yang mempunyai pencapaian usia luar biasa. ASEAN Records turut merekodkan Tun Siti Hasmah sebagai pasangan tertua yang masih hidup kepada bekas Perdana Menteri ketika beliau mencapai usia 100 tahun.
Legasi Tun Siti Hasmah Akan Terus Hidup, Terpahat Dalam Ingatan Rakyat Malaysia

Pemergian Tun Siti Hasmah pada usia satu abad menutup satu perjalanan kehidupan yang menyaksikan perubahan besar Malaysia daripada era sebelum kemerdekaan sehingga ke zaman moden.
Seorang pelajar perubatan kepada doktor, ibu, tokoh masyarakat dan akhirnya Wanita Pertama Malaysia, perjalanan Allahyarhamah memperlihatkan bagaimana seorang wanita mampu memainkan pelbagai peranan tanpa kehilangan identiti dan prinsip dirinya.
Kedudukan sebagai isteri kepada seorang pemimpin negara mungkin menjadi sebahagian besar daripada perhatian umum terhadap beliau, namun sumbangan Tun Siti Hasmah mempunyai ruangnya sendiri dalam sejarah negara.
Ketika ditemu bual UNICEF pada 2021, Allahyarhamah turut berkongsi pengalaman panjangnya mengenai kesihatan awam dan perubahan masyarakat. Pada ketika itu, beliau dilihat sebagai sumber pengalaman berharga selepas melalui pelbagai krisis kesihatan sepanjang hayatnya.
Hari ini, Malaysia kehilangan seorang lagi tokoh yang telah melalui hampir keseluruhan perjalanan moden negara.

Lebih menyentuh hati, pemergian itu hadir selepas beliau sempat mencapai usia 100 tahun dan meraikan 70 tahun perkahwinan bersama insan yang menemaninya sejak 1956.
Daripada seorang doktor muda di era Malaya kepada figura yang dikenali seluruh negara, nama Tun Siti Hasmah Mohd Ali meninggalkan cerita yang panjang untuk dikenang.
Bukan hanya tentang gelaran dan kedudukan, tetapi tentang khidmat, keluarga, ketabahan serta sebuah kehidupan yang berlangsung selama satu abad.
Selamat jalan, Tun Siti Hasmah.
Havoxians mendoakan, semoga segala jasa dan bakti Allahyarhamah menjadi amal yang terus mengalir, dan semoga roh beliau dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Al Fatihah.