
Lebih tiga dekad berada dalam dunia muzik, nama Nourul Depp cukup sinonim dengan pentas seni dan perjalanan panjang industri hiburan tanah air.
Namun, selepas melalui pelbagai fasa kehidupan, penyanyi yang pernah mencipta nama menerusi dunia muzik itu kini memilih untuk menggunakan pengalaman yang dikumpul sepanjang perjalanan tersebut untuk tujuan yang jauh lebih besar.
Jika dahulu menjadi penghibur, kini Nourul giat dalam dunia keusahawanan dan menjadi jurulatih kehidupan bertauliah, Nourul Depp kini aktif menyebarkan mesej tentang kesedaran diri, kekuatan mental, keyakinan dan keberanian wanita untuk menentukan hala tuju kehidupan.
Malah, Nourul Depp sekali lagi diberi kepercayaan untuk menyertai Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) 2026, sebuah inisiatif di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Pembangunan Wanita.
Bagi Nourul, penglibatan kali kedua dalam program tersebut bukan sekadar pengiktirafan terhadap perjalanan kerjayanya, sebaliknya menjadi ruang untuk berkongsi sesuatu yang lebih peribadi iaitu pengalaman jatuh bangun kehidupan yang membentuk dirinya hari ini.
“Saya amat bersyukur dan berbesar hati kerana sekali lagi diberi peluang untuk bersama PERANTIS. Bagi saya, menjadi seorang wanita pemimpin bukan sekadar tentang gelaran atau kedudukan.
Lebih penting ialah apa yang kita lakukan dengan peluang yang diberikan untuk menyentuh kehidupan wanita lain, membantu mereka melihat potensi diri dan memberi keberanian untuk melangkah ke hadapan,” katanya.
Dari Penyanyi Kepada Jurulatih Kehidupan, Perjalanan Nourul Bentuk Perspektif Baharu

Perjalanan Nourul Depp dalam industri muzik bermula sejak usia muda dan pengalaman lebih tiga dekad dalam dunia seni memberinya peluang untuk mengenali pelbagai sisi kehidupan, manusia serta cabaran dalam membina sebuah kerjaya.
Namun, kehidupan Nourul tidak terhenti setakat pentas persembahan sahaja, malah dia kini melebarkan sayap dalam bidang keusahawanan.
Pengalamannya sebagai usahawan dan perjalanan dalam pembangunan diri akhirnya membawa beliau kepada bidang coaching. Nourul Depp kini merupakan RMT Certified Life Coach yang mendapat latihan melalui Robbins Madanes Training, selain diiktiraf sebagai penceramah oleh HRD Corp.
Perubahan tersebut memperlihatkan satu sisi lain Nourul Depp yang mungkin tidak pernah ditonjolkan atau diketahui oleh peminatnya.
Jika dahulu kekuatan Nourul disampaikan menerusi muzik dan persembahan, kini pengalaman itu diterjemahkan pula melalui perkongsian ilmu, kesedaran diri dan pembangunan potensi manusia.
“Muzik mengajar saya tentang hubungan dengan manusia. Kehidupan mengajar saya tentang ketahanan. Coaching memberikan saya ilmu dan alat untuk membantu orang lain.
Firetalk pula menjadi ruang untuk saya menggabungkan kesemuanya,” jelasnya.
Melalui Firetalk, beliau memberi tumpuan kepada kesedaran diri, kecerdasan emosi, ketahanan diri, perubahan minda dan transformasi peribadi.
Bagi Nourul, pembangunan diri bukan sekadar tentang menjadi lebih berjaya atau mencapai sesuatu sasaran dalam kehidupan. Sebaliknya, proses tersebut bermula apabila seseorang berani berhenti seketika dan melihat semula dirinya.
Firetalk Dan PERANTIS 2026, Misi Nourul Memperkasakan Wanita

Semangat yang dibawa menerusi Firetalk kini dilihat mempunyai kesinambungan yang jelas dengan penglibatan Nourul dalam PERANTIS 2026.
Beliau percaya kepimpinan wanita tidak semestinya bermula dengan jawatan besar, kedudukan tinggi atau gelaran tertentu. Sebaliknya, ia boleh bermula daripada satu keputusan kecil untuk kembali mempercayai diri sendiri.
“Saya percaya kepimpinan tidak semestinya bermula dengan jawatan atau gelaran. Kadangkala kepimpinan bermula apabila seorang wanita membuat keputusan untuk percaya kepada dirinya sendiri sekali lagi,” ujarnya.

Menurut Nourul, perubahan terhadap cara seorang wanita melihat dirinya mampu memberi kesan kepada banyak perkara lain dalam kehidupan, termasuk keluarga, kerjaya, perniagaan dan masa depan.
“Apabila seorang wanita mengubah cara dia melihat dirinya, dia juga boleh mengubah cara dia melihat keluarga, kerjaya, perniagaan dan masa depan,” dedahnya.
Perspektif tersebut menjadikan kisah Nourul Depp lebih daripada sekadar kisah seorang selebriti yang keluar dari zon selesa ke bidang baharu yang lebih mecabar.
Malah, tahun 2026 sendiri menjadi antara tahun yang cukup penting dalam perjalanan Nourul apabila beliau merealisasikan impian untuk mengadakan konsert solo pertamanya, For You: Nourul di Zepp Kuala Lumpur baru-baru ini.
Konsert tersebut bukan hanya menjadi ruang untuk meraikan perjalanan lebih tiga dekad dalam muzik, tetapi turut membawa simbol bahawa seseorang wanita masih mampu mencipta impian baharu walaupun selepas melalui pelbagai fasa kehidupan.
Saya mahu wanita tahu bahawa mereka tidak perlu kekal sebagai versi diri mereka yang dibentuk oleh masa lalu.
Kita boleh berubah. Kita boleh sembuh. Kita boleh membina semula diri. Dan kita boleh memilih arah baharu dalam hidup, tidak kira pada usia berapa pun,” tegasnya.
Nourul Mahu Wanita Kenal Potensi Diri Dan Berani Membina Kehidupan Lebih Baik

Jelas Nourul, matlamat akhirnya bukan untuk memberitahu wanita bagaimana mereka sepatutnya menjalani kehidupan.
Sebaliknya, beliau mahu mewujudkan ruang yang membolehkan wanita mengenali diri sendiri, memproses pengalaman lalu dan melihat semula potensi yang mungkin selama ini tersembunyi di sebalik rasa takut, keraguan atau tekanan kehidupan.
“Saya tidak mahu memberitahu wanita siapa mereka sepatutnya menjadi. Saya mahu membantu mereka menemui siapa sebenarnya mereka dan potensi yang selama ini mungkin mereka tidak nampak dalam diri sendiri,” katanya.
Mesej tersebut menjadi semakin relevan dalam dunia yang sering mengukur kejayaan wanita berdasarkan pencapaian luaran. Bagi Nourul Depp, kepimpinan sebenar bermula lebih jauh daripada pencapaian yang boleh dilihat orang lain.
Pengalaman Nourul Depp juga memperlihatkan bahawa kehidupan tidak mempunyai satu laluan yang tetap. Seseorang boleh menjadi penyanyi, usahawan, ibu, jurulatih, penceramah dan pemimpin dalam fasa kehidupan yang berbeza tanpa perlu meninggalkan identiti yang pernah dibina sebelum ini.
“Bagi saya, tiada satu pun pengalaman hidup yang sia-sia. Apa yang kita lalui boleh menjadi ilmu untuk membentuk diri dan membantu orang lain,” tambahnya.
Semangat itulah yang mahu dibawa Nourul kepada lebih ramai wanita menerusi PERANTIS 2026.
Sekadar info Havoxians, Program PERANTIS diwujudkan bagi membangunkan bakat kepimpinan wanita menerusi perkongsian ilmu, bimbingan serta pengalaman daripada barisan wanita pemimpin dan tokoh yang berjaya.
Bagi tahun 2026, KPWKM memperuntukkan RM4 juta bagi pelaksanaan program tersebut dengan sasaran melibatkan 80 pemimpin wanita dan 4,000 peserta di seluruh negara.
Selain Nourul Depp sebagai penceramah jemputan, PERANTIS 2026 turut menampilkan Dato Sri Alha Alfa sebagai penceramah jemputan dan Atilia sebagai pengajar jemputan.
Program PERANTIS 2026 akan berlangsung pada 17 dan 18 Oktober 2026, bermula jam 9.30 pagi bertempat di Tamu Hotel Kuala Lumpur.