
Bayangkan datang ke sebuah festival bukan sekadar untuk menonton persembahan, tetapi boleh menikmati makanan tempatan, meneroka karya seni, mencari produk kreatif, menyertai bengkel dan melihat bagaimana elemen budaya lama diterjemahkan dalam bentuk yang lebih moden.
Apabila malam menjelang, suasana pula berubah dengan muzik dimainkan secara langsung, DJ, muzik elektronik, visual dan cahaya gemerlapan memberikan pengalaman lebih dinamik dan inklusif.
Ini antara tarikan utama Akar//Next 2026, sebuah festival budaya kontemporari yang cuba membawa budaya Nusantara keluar daripada gambaran konvensional dan mendekatkannya dengan cara hidup generasi masa kini.
Berteraskan tema “One Root, Infinite Futures”, festival ini melihat budaya bukan sekadar peninggalan yang perlu dipelihara, tetapi sebagai akar yang boleh melahirkan pelbagai bentuk kreativiti baharu masa kini.
Akar//Next 2026 Bawa Budaya Nusantara Dalam Dimensi Kontemporari

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Goodseed Event, Hilli Fahmi, idea di sebalik Akar//Next tercetus daripada keinginan untuk melihat budaya melalui sudut yang lebih luas dan relevan dengan generasi hari ini.
“Lahir daripada idea untuk membawa akar budaya kita ke satu ruang yang lebih segar, terbuka dan relevan dengan generasi hari ini.
Kami mahu menunjukkan bahawa budaya bukan sesuatu yang statik atau hanya untuk dikenang, tetapi boleh terus berkembang melalui muzik, seni, fesyen, kreativiti dan teknologi,” katanya.
Menurut Hilli, akar yang dimaksudkan bukan sekadar sejarah atau warisan, sebaliknya titik permulaan kepada idea dan ekspresi baharu.
“Melalui tema ‘One Root. Infinite Futures.’, kami melihat satu akar sebagai permulaan kepada pelbagai kemungkinan.
Akar//Next 2026 adalah ruang untuk kita meraikan apa yang telah membentuk kita, sambil memberi peluang kepada generasi baharu untuk mencipta apa yang akan datang seterusnya,” ujarnya.
Pendekatan tersebut turut membezakan Akar//Next 2026 daripada festival yang hanya memberi tumpuan kepada hiburan semata-mata.

Menerusi Akar//Next 2026 pengunjung bebas merasai satu pengalaman kepada pengalaman lain mengikut waktu dan minat masing-masing. Elemen budaya, muzik dan kreativiti tidak diletakkan secara berasingan, sebaliknya bersatu dalam sebuah ruang yang lebih menyeluruh.
Goodseed Event juga menjadikan pengalaman daripada penganjuran acara terdahulu sebagai asas dalam membangunkan festival berkenaan meski agak mencabar.
“Goodseed Event telah menganjurkan pelbagai acara dan festival sebelum ini, dan pengalaman tersebut banyak membantu kami dalam membangunkan Akar//Next. Namun, kami tidak menafikan bahawa Akar//Next merupakan festival terbesar yang pernah kami usahakan,” dedah Hilli.
Menurut beliau, cabaran tidak hanya terletak pada saiz festival, tetapi juga usaha menyatukan muzik, budaya, seni, komuniti dan kreativiti supaya setiap elemen dapat bergerak seiring membentuk satu pengalaman luar biasa.
“Kami mahu memastikan apa yang kami bayangkan dapat direalisasikan dengan sebaik mungkin dan memberikan pengalaman yang bermakna kepada pengunjung, rakan kerjasama serta semua yang terlibat,” tambahnya.
Sebuah Festival Gabungan Muzik, Seni, Fesyen Dan Kreativiti

Lebih menarik lagi, Akar//Next 2026 menawarkan pelbagai bentuk pengalaman yang merentasi hiburan, budaya dan ekonomi kreatif.
Persembahan kebudayaan akan menjadi antara elemen yang menghubungkan festival dengan akar warisan Nusantara, manakala muzik pula diberi ruang yang lebih luas melalui persembahan secara langsung, DJ, muzik elektronik dan kolaborasi antara muzik tradisional dengan bunyi moden.
Seni visual turut memainkan peranan menerusi tekstil, warisan, penceritaan, instalasi dan pelbagai karya yang membolehkan pengunjung melihat budaya daripada perspektif yang berbeza.
Ruang fesyen dan gaya hidup pula akan menampilkan kraftangan, aksesori, barangan koleksi serta produk kreatif tempatan.
Gabungan ini menjadikan festival berkenaan bukan sekadar tempat untuk melihat persembahan, tetapi ruang untuk mengenali penggiat kreatif dan produk yang lahir daripada komuniti tempatan.
Pada sebelah siang, pengunjung boleh menikmati suasana yang lebih santai melalui ruang pasaran, makanan dan minuman, aktiviti seni, bengkel serta program kreatif.
Apabila malam tiba, rentak festival akan menjadi lebih bertenaga dengan persembahan muzik, muzik elektronik, visual dan pencahayaan yang memberikan suasana berbeza.
Ketua Pegawai Operasi Goodseed Event, Syarafina Shaffi, berkata pengalaman pengunjung menjadi antara perkara utama yang diberi perhatian dalam perancangan festival tersebut.
“Kami mahu pengunjung datang ke Akar//Next bukan sekadar untuk melihat satu persembahan atau membeli sesuatu, tetapi untuk meluangkan masa dan menikmati keseluruhan pengalaman yang kami sediakan,” katanya.
Menurut Syarafina, susunan program dari siang hingga malam membolehkan pengunjung menikmati festival mengikut kesesuaian masing-masing.
“Pengunjung boleh datang bersama keluarga pada waktu siang, meneroka marketplace, menyertai aktiviti dan menikmati makanan, sebelum menikmati persembahan muzik dan pengalaman yang lebih bertenaga pada sebelah malam. Kami mahu setiap ruang dan aktiviti mempunyai sesuatu untuk diterokai,” jelasnya.
Konsep tersebut juga membuka peluang kepada pelbagai kelompok untuk menikmati festival dalam cara tersendiri, termasuk keluarga, pelancong, generasi muda, peminat muzik, penggiat seni dan komuniti kreatif.
Akar//Next Buka Ruang Kepada Komuniti & Ekonomi Kreatif Tempatan

Di samping menawarkan pengalaman luar biasa untuk pengunjung, Akar//Next 2026 turut membawa misi untuk menyediakan platform kepada penggiat industri kreatif tempatan.
Artis, pemuzik, DJ, pereka, pengusaha kraf, usahawan dan pencipta kandungan berpeluang memperkenalkan karya, produk serta idea mereka kepada khalayak yang lebih luas.
Program pembelajaran kreatif seperti bengkel dan sesi perkongsian juga memberi peluang kepada pengunjung untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan individu yang terlibat secara langsung dalam industri.
Elemen digital pula menjadi pelengkap kepada pengalaman fizikal festival menerusi kandungan dalam talian, aktiviti berasaskan kod QR, penglibatan media sosial serta pengalaman interaktif.
Gabungan ruang fizikal dan digital ini menunjukkan bagaimana festival budaya boleh berkembang seiring dengan tabiat generasi baharu yang semakin bergantung kepada pengalaman digital untuk menemui kandungan, jenama dan komuniti.
Bagi merealisasikan aspirasi tersebut, penganjur turut membuka ruang kerjasama kepada jenama, syarikat, agensi kerajaan, organisasi kebudayaan, media, pencipta kandungan, usahawan, artis dan komuniti kreatif.
Kerjasama boleh melibatkan tajaan, pengaktifan jenama, kerjasama strategik, media dan kandungan, penyertaan vendor serta jenama kreatif, penglibatan artis dan komuniti budaya, selain kerjasama berkaitan produk dan perkhidmatan.
Malah, penganjuran Akar//Next 2026 turut disokong beberapa rakan strategik yang berkongsi aspirasi dalam memperkasa budaya, kreativiti dan komuniti tempatan.
Antara pihak yang terlibat ialah Hotlink selaku Rakan Telco Eksklusif, Commerce Dot Com sebagai Rakan Strategik CSR, JBS Solution sebagai Rakan Produksi Persembahan, Temerloh Catering sebagai Rakan Katering Rasmi, Jom Printing sebagai Rakan Kelengkapan Kru serta Pasar Seni sebagai Rakan Lokasi Rasmi.
Buat Havoxians yang mahu melihat bagaimana budaya, muzik, seni, makanan, fesyen dan kreativiti Nusantara diterjemahkan dalam pengalaman kontemporari, Akar//Next 2026 akan berlangsung selama tiga hari dari 30 Oktober hingga 1 November 2026 di Central Market, Kuala Lumpur.
Maklumat terkini boleh diikuti menerusi Instagram, TikTok, Threads dan Facebook Goodseed Event, serta Instagram dan TikTok Akar//Next.