
Bukan calang-calang pertaruhan filem seram tempatan kali ini! 92 lokasi tayangan di seluruh negara, KACAU bukan sahaja bersedia menguji keberanian penonton, malah turut berdepan cabaran mendapatkan sokongan besar dalam tempoh empat hari pertama tayangannya.
Mampukah karya arahan Muzzamer Rahman ini mencuri perhatian peminat filem seram dan bertahan di pawagam?
Persoalan itu pastinya menjadi antara perkara menarik untuk diperhatikan apabila KACAU mula menemui penonton pada 12 November 2026.
Menerusi Malam Gala yang berlangsung pada 10 November lalu, Le Mediator Studio memperkenalkan filem cereka kelima terbitan mereka yang diadaptasi daripada novel laris Buku Fixi karya Ariff Adly.
Menariknya, KACAU turut mempertaruhkan pendekatan muzik yang menggabungkan elemen Barat dan Nusantara, selain menawarkan pengalaman audio Dolby Atmos di pawagam terpilih.
KACAU Pertaruh Empat Hari Pertama, 92 Lokasi Tayangan Untuk Diserbu Penonton

Menariknya, KACAU merupakan adaptasi daripada novel laris terbitan Buku Fixi karya Ariff Adly. Penghasilan karya ini memperlihatkan kesinambungan usaha Le Mediator Studio dalam meneroka penceritaan filem tempatan menerusi bahan sastera yang sudah mempunyai kelompok pembaca tersendiri.
Walau bagaimanapun, membawa sebuah novel ke layar perak bukanlah tugas yang mudah. Proses adaptasi memerlukan pertimbangan tersendiri supaya penceritaan dapat disesuaikan dengan medium filem tanpa mengabaikan identiti asal karya.
Muzzamer sebelum ini turut berkongsi bahawa persamaan antara novel dengan filem mungkin sekitar 40 peratus sahaja. Perubahan tersebut memberikan ruang kepada pasukan produksi untuk membentuk pengalaman sinematik yang lebih sesuai dengan kehendak penceritaan di layar besar.
Bagi pengarah itu, setiap pengalaman yang dilalui dalam perjalanan menghasilkan sesebuah karya mempunyai nilai tersendiri.
“Apa benda yang kita dapat, baik atau buruk, dia akan membawa kita ke satu jenis yang lain. Tak ada benda yang buruk. Yang ada pengalaman yang bawa kita ke satu tempat lain je,” katanya.
Kenyataan tersebut memberikan gambaran tentang bagaimana pengalaman dan cabaran boleh menjadi sebahagian daripada proses kreatif sesebuah produksi.
Justeru, jumlah 92 lokasi tayangan yang disediakan memberikan peluang lebih luas kepada penonton untuk mendapatkan akses kepada filem berkenaan.
Namun, pihak produksi turut mengingatkan bahawa sokongan pada peringkat awal tayangan amat penting bagi memastikan KACAU terus mendapat ruang di pawagam.
Harapan itu bukan sekadar bergantung kepada jumlah lokasi yang tersedia, sebaliknya turut memerlukan sokongan sebenar penonton yang sanggup meluangkan masa dan wang untuk menikmati karya tempatan.
Muzik Barat Bertemu Nusantara, KACAU Bina Identiti Seram Tersendiri

Pembikinan filem bergenre seram, kekuatan sesebuah babak bukan hanya bergantung kepada visual yang dipaparkan. Bunyi, muzik latar dan suasana yang dibina turut memainkan peranan penting dalam mencetuskan ketegangan serta memberikan pengalaman berbeza kepada penonton.
Menyedari kepentingan elemen tersebut, KACAU memberikan perhatian khusus terhadap aspek rekaan bunyi dan muzik yang dihasilkan oleh Mohsin Othman bersama pasukannya dari Technica Studios dan Daki.
Menurut Muzzamer, muzik dalam filem ini menggabungkan konsep Barat dan Nusantara, sekali gus menghasilkan pendekatan bunyi yang mempunyai identiti tersendiri.
Bagi merealisasikan idea tersebut, Mohsin turut bekerjasama dengan pemain muzik berpengalaman dari dalam dan luar negara menerusi penggunaan instrumen moden serta klasik.
Gabungan pendekatan muzik berbeza ini menjadi antara elemen yang menarik untuk diberikan perhatian, khususnya dalam usaha membina suasana seram yang tidak hanya bergantung kepada kejutan visual.
Dalam konteks filem seram, susunan bunyi yang tepat mampu membuatkan penonton berasa tidak selesa walaupun sesuatu ancaman belum diperlihatkan secara jelas. Permainan ritma, intensiti muzik dan kesan bunyi boleh mempengaruhi emosi penonton sepanjang mengikuti perkembangan cerita.
Selain aspek audio, identiti visual KACAU turut diberikan perhatian menerusi poster rekaan Lah Hamid, manakala trailer filem disunting oleh Latt UG Studio.
Filem ini juga menawarkan pengalaman audio Dolby Atmos di pawagam terpilih. Kemudahan tersebut memberikan satu lagi tarikan kepada penonton yang mahu menikmati perincian bunyi dengan lebih menyeluruh ketika menyaksikan filem di layar besar.
Sadiq M. Jamil dan Idan Aedan Harap Penonton Beri Peluang Kepada KACAU

Di sebalik usaha pasukan produksi membina pengalaman sinematik, penerimaan penonton tetap menjadi perkara paling penting apabila sesebuah filem mula menemui khalayak.
Bagi pelakon Sadiq M. Jamil, pengalaman menjalani penggambaran KACAU turut diselitkan dengan sisi humor apabila beliau berkongsi bahawa dirinya tidak pernah mengalami gangguan sepanjang berada di lokasi penggambaran.
“Alhamdulillah sepanjang menjalani penggambaran filem KACAU, saya tak pernah ‘dikacau’. Tetapi dalam filem ini banyak kacau,” katanya.
Kenyataan bersahaja itu pastinya memberikan sedikit kelainan dalam suasana promosi sebuah filem seram yang membawa tema gangguan dan ketegangan.
Sementara itu, Idan Aedan turut menyampaikan harapannya agar penonton dapat memberikan peluang kepada KACAU untuk dinikmati sebagai sebuah karya filem.
“Saya harap semua orang akan enjoy menonton filem KACAU ini dan tidak terlampau menilai sesuatu filem itu,” ujarnya.

Harapan tersebut membawa satu mesej yang cukup dekat dengan realiti industri perfileman tempatan. Setiap karya mempunyai pendekatan, kekuatan dan interpretasi tersendiri. Justeru, pengalaman menonton secara menyeluruh sebelum membuat penilaian merupakan antara perkara yang diharapkan oleh barisan produksi.
Untuk rekod Havoxians, penerbitan KACAU turut mendapat sokongan Kementerian Komunikasi dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menerusi Dana Kandungan Digital, termasuk sokongan fasiliti serta pembiayaan daripada FINAS.
Malah, dengan gabungan tenaga kreatif serta sokongan rakan strategik industri seperti Canon Marketing Malaysia, Buku Fixi, Azura Pictures, Key Billion dan Mekar serta penaja kasut FK Sneakers pula bertindak yang turut membantu memperluaskan promosi filem ini. KACAU kini bersedia untuk berdepan penilaian sebenar daripada penonton filem horror.
Filem KACAU arahan Muzzamer Rahman yang diadaptasi daripada novel karya Ariff Adly akan mula menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 12 November 2026.
Sebanyak 92 lokasi tayangan yang disediakan, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri KACAU di layar lebar dan berikan sokongan kepada karya filem tempatan ini seawal hari pertama tayangannya!