
Sebaik sahaja tahun baharu 2026 membuka tirainya, industri seni tanah air dikejutkan dengan insiden ‘blackout’ apabila Konsert Radja x Wali dihentikan secara tiba-tiba tepat jam 12 tengah malam ketika persembahan masih berlangsung.
Isu berkenaan kini memasuki fasa baharu apabila pihak penganjur mendakwa mengalami kerugian dan sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pengurusan venue, Idealive, susulan kekecohan yang tercetus.
Penjelasan rasmi itu dibuat bagi menjawab pelbagai dakwaan dan spekulasi yang tular di media sosial sejak insiden berkenaan berlaku.
Menurut wakil penganjur, Mubarak Akhtar, kejadian tersebut merupakan pengalaman paling mencabar sepanjang lebih 30 tahun beliau bergiat aktif dalam industri muzik.
Malah, insiden ini disifatkan sebagai kali pertama persembahan dihentikan secara tiba-tiba oleh pihak venue atas alasan kekangan masa, bukan melibatkan faktor artis mahupun pihak berkuasa tempatan.
“Sepanjang saya menganjurkan konsert di Malaysia dan luar negara, perkara seperti ini tidak pernah berlaku. Pada malam itu, pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sendiri tidak menghalang konsert diteruskan,” jelasnya.
Bukan Artis, Bukan MBPJ! Venue Enggan Bertolak Ansur Langgar ‘Perjanjian’

Mengulas lanjut, penganjur menegaskan Radja tidak seharusnya dipersalahkan kerana kumpulan itu hadir tepat pada waktunya dan sudah bersedia untuk memulakan persembahan seawal jam 8.20 malam.
Malah, ketika jam menunjukkan 11.30 malam, Wali Band masih mempunyai kira-kira lapan lagu dalam senarai persembahan, termasuk beberapa lagu popular yang sememangnya dinantikan peminat.
Bagaimanapun, walaupun perbincangan lisan telah dibuat dan dipersetujui untuk meneruskan konsert, pihak pengurusan venue Idealive didakwa tidak memberi kebenaran rasmi.
“Venue meminta satu surat bertandatangan daripada Pengarah Perlesenan untuk meneruskan persembahan. Namun, individu berkenaan tiada pada malam kejadian dan pegawai lain tidak berani menandatangani bagi pihaknya,” katanya.
Penganjur turut menjelaskan bahawa berdasarkan Enakmen Hiburan Negeri Selangor, persembahan di premis tertutup dibenarkan sehingga jam 1 pagi. Malah, dalam perjanjian antara penganjur dan pihak Idealive, tiada klausa yang membenarkan venue menghentikan persembahan secara unilateral pada jam 12 tengah malam.
“Perjanjian hanya menetapkan kami perlu mengosongkan lokasi sebelum jam 2 pagi. Jika melebihi masa, venue sepatutnya mengenakan caj tambahan atau melucutkan deposit, bukan mematikan persembahan,” tegasnya.
Penganjur Nekad Ambil Tindakan Undang-Undang

Susulan insiden itu, penganjur memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak pengurusan Idealive.
Surat tuntutan atau saman akan dikeluarkan selepas liabiliti dan kerugian dikenal pasti sepenuhnya sebelum proses pemfailan di Mahkamah dimulakan dalam masa terdekat.
“Sebagai sebuah negara demokrasi, kami percaya biarlah Mahkamah menentukan kebenaran,” katanya.
Pengumuman Khas Buat Peminat Wali Band
Dalam sidang media sama, penganjur turut membuat pengumuman khas sebagai usaha meredakan kekecewaan peminat Wali Band.
Satu Konsert Khas Wali Band akan dianjurkan pada 1 Mei 2026 (Hari Buruh) di sebuah venue lebih besar dan terbuka (outdoor) bagi memberikan pengalaman persembahan yang lebih memuaskan.
Sebagai tanda penghargaan, pembeli tiket Konsert Radja x Wali sebelum ini layak menerima diskaun 20 peratus untuk pembelian tiket konsert khas berkenaan.
“Kami sedar peminat Wali tidak puas hati kerana tidak sempat menyaksikan keseluruhan persembahan. Ini adalah usaha kami untuk menebus kembali kepercayaan mereka,” katanya.
Sekadar recap, pada malam Konsert Radja x Wali satu insiden mengejutkan telah mencetuskan rasa tidak puas hati dikalangan penonton, apabila pentas bertukar gelap dan Konsert dihentikan secara tiba-tiba, hingga mencetuskan perdebatan hangat di laman sosial.
Paling terkesan dan teruk menerima kecaman adalah pihak penganjur konsert berkenaan, Impian Al Fateh dan GIS Entertainment, apabila segelintir peminat mendesak agar bayaran tiket dipulangkan berikutan insiden malang berkenaan.