
Musim perayaan sering kali hadir dengan pelbagai cerita yang tidak dirancang. Di sebalik baju baharu, juadah tradisi dan kunjungan sanak saudara, pagi Syawal sebenarnya sering dipenuhi pelbagai situasi kecil yang kadangkala lucu, cemas dan sedikit dramatik.
Daripada kuih raya yang tidak menjadi, baju raya yang tiba tiba terasa sempit selepas sebulan berpuasa, hinggalah detik kelam kabut sebelum keluar menunaikan solat sunat Aidilfitri, semua itu sebenarnya sebahagian daripada memori raya yang sering dikongsi bersama keluarga setiap tahun.
Mengambil inspirasi daripada situasi situasi inilah, trio lawak popular Kimbab yang dianggotai oleh Zulin Aziz, Nasz Sally dan Maryam DurianKimchi tampil dengan single raya terbaharu berjudul Drama Raya.
Lagu ini bukan sekadar hiburan ringan, malah menjadi refleksi kepada pelbagai kisah kecil yang hampir pasti pernah dialami oleh kebanyakan masyarakat setiap kali menjelang hari raya.
Menurut Zulin Aziz yang juga pencipta lagu dan lirik, idea penghasilan lagu tersebut hadir daripada pemerhatian terhadap perkara perkara kecil yang sering berlaku dalam kehidupan seharian ketika musim perayaan.
“Sebenarnya lagu Drama Raya ini terinspirasi daripada apa yang selalu sangat kita semua hadap terutama pagi raya. Dari kuih tak menjadi, baju tak muat sampailah macam macam situasi yang memang berlaku setiap tahun. Saya rasa semua orang pernah melalui ‘Drama Raya’ mereka sendiri,” katanya.
Tambah Zulin lagi, elemen penceritaan dalam lagu ini sengaja dibina supaya dekat dengan pengalaman ramai.
“Sebab itu saya rasa penting untuk orang tengok muzik video lagu ini juga, sebab ia penuh dengan kisah yang sangat relatable dan mungkin pernah berlaku dalam keluarga masing masing,” tambahnya.
Lagu “Drama Raya” Cerita Realiti Pagi Syawal Sebuah Keluarga

Apa yang membezakan Drama Raya dengan kebanyakan lagu raya lain adalah pendekatan penceritaan yang sangat dekat dengan realiti masyarakat.
Daripada suasana panik di dapur ketika menyediakan juadah terakhir sebelum solat sunat Aidilfitri, hinggalah situasi lucu apabila baju raya yang ditempah awal tiba tiba tidak lagi muat dipakai, semuanya menjadi bahan cerita yang mudah difahami oleh pendengar.
Situasi seperti ini mungkin kelihatan remeh, namun sebenarnya menjadi sebahagian daripada kenangan raya yang sering dikenang setiap tahun. Lagu ini secara tidak langsung mengajak pendengar melihat sisi lucu di sebalik kekalutan pagi Syawal.
Menurut Zulin, pendekatan tersebut sengaja diambil kerana beliau mahu lagu ini terasa jujur dan dekat dengan kehidupan sebenar.
“Kadang kadang benda kecil macam itu yang sebenarnya paling kita ingat bila cerita pasal raya. Jadi saya fikir kenapa tidak kita jadikan semua pengalaman itu sebagai sebuah lagu yang santai dan menghiburkan,” ujarnya.
Rap Maryam DurianKimchi Jadi Kelainan Lagu Raya “Drama Raya”

Satu lagi elemen menarik dalam Drama Raya adalah kemunculan Maryam DurianKimchi yang membawakan bahagian rap dalam Bahasa Melayu, sesuatu yang jarang dilakukan dalam lagu raya tradisional.
Keputusan memasukkan elemen rap tersebut memberikan warna baharu kepada lagu ini, selain menjadikannya lebih segar untuk pendengar generasi muda.
Zulin mengakui proses tersebut bukanlah sesuatu yang mudah buat Maryam, terutamanya kerana rap memerlukan ketepatan sebutan dan tempo yang pantas.
“Kelainan lagu ini sebab kita ada orang Korea siap rap lagi. Memang jenuh Maryam menghafal, tapi dia sangat power.
Walaupun Bahasa Melayu dia dah sangat baik, cabaran sebenar adalah dari segi sebutan rap dan dia berlatih berkali kali,” dedah Zulin.
Menurutnya lagi, komitmen semua ahli kumpulan menjadikan proses rakaman berjalan lancar.
“Alhamdulillah proses rakaman sangat mudah sebab semua sangat komited dan saling membantu,” katanya.
Gabungan latar belakang budaya yang berbeza dalam kumpulan Kimbab juga menjadikan lagu ini lebih menarik untuk dinikmati, sekali gus memberi sentuhan unik kepada karya raya mereka.
Keserasian Kimbab Jadi Kekuatan Lagu “Drama Raya”

Selain elemen muzik yang segar, kekuatan sebenar lagu ini turut terletak pada keserasian trio Kimbab yang sudah lama dikenali oleh peminat.
Hubungan mereka yang terjalin sejak menyertai program Muzikal Lawak Superstar menjadikan kerjasama antara mereka semakin kukuh sehingga kini.
Bagi Zulin, keserasian tersebut memudahkan segala proses kreatif sepanjang menghasilkan lagu ini.
“Keserasian kami memang dah macam isi dengan kuku. Sejak habis Muzikal Lawak Superstar, kami sentiasa bersama dan keserasian itu sangat membantu sepanjang penghasilan lagu ini.”
Menariknya, Drama Raya turut menyelitkan isu perbezaan generasi antara golongan milenial dan Gen Z secara santai. Perkara ini menggambarkan bagaimana sambutan Aidilfitri turut berubah mengikut peredaran masa tanpa meninggalkan nilai tradisi yang menjadi teras perayaan tersebut.
Dalam masa yang sama, Zulin berharap lagu ini mampu menjadi pengubat rindu buat peminat setia mereka yang dikenali sebagai Kimbabers.
“Harapan saya semoga Drama Raya mendapat sambutan dan menjadi lagu yang menceriakan raya peminat kami. Kalau ramai yang suka, mungkin tahun depan ada sambungannya,” jelasnya.
Lebih menarik, lagu ini juga bakal digunakan sebagai lagu tema untuk telefilem raya Kimbab berjudul Andartu Cancel Raya yang dijangka ditayangkan di Astro.
Dengan gabungan humor, kisah realiti masyarakat serta sentuhan muzik moden yang ringan, Drama Raya bukan sekadar lagu hiburan semata mata.
Ia menjadi gambaran kecil tentang bagaimana setiap keluarga sebenarnya mempunyai versi “drama raya” mereka sendiri yang akhirnya menjadi memori manis setiap kali Aidilfitri menjelang.