
Dalam dunia muzik yang semakin dipenuhi formula selamat dan bunyi yang mudah diterima massa, kehadiran Jabat Erat datang seperti satu gangguan yang perlu. Ia bukan sekadar festival yang menjanjikan barisan persembahan selama tiga hari, tetapi sebuah gerakan yang cuba menghidupkan semula denyut nadi scene alternatif yang selama ini bergerak di bawah radar.
Dianjurkan oleh Rockstation Event & Entertainment , Jabat Erat membawa pendekatan yang berbeza daripada festival arus perdana. Ia tidak bergantung kepada nama besar semata-mata, sebaliknya memberi ruang kepada kepelbagaian suara dari pelbagai lapisan komuniti muzik, termasuk artis tempatan dan antarabangsa.
Lebih daripada itu, festival ini hadir dengan satu semangat yang jarang diberi perhatian secara serius dalam industri hiburan tempatan, iaitu semangat D.I.Y yang menjadi tulang belakang kepada banyak gerakan muzik dunia.
Mengulas berkenaan penganjuran Jabat Erat Festival Fringe Art ini, Pengarah Urusan Rockstation Event & Entertainment, Mozylir Mokhtarudin berkata ia merupakan sebuah hub rangkaian pertama di Malaysia.
“Ini adalah hub rangkaian untuk Malaysia, Asia Tenggara dan seluruh dunia. Kita satukan penganjur independent, venue, peminat, band, label, otai, veteran, sampailah ke emerging bands dalam pelbagai genre muzik.”
Kenyataan itu secara tidak langsung meletakkan Jabat Erat sebagai lebih daripada sekadar acara hujung minggu, tetapi sebuah ekosistem yang cuba dibina dari bawah.
Jabat Erat Angkat Semangat D.I.Y Sebagai Teras Pergerakan Seni Alternatif

Apa yang membezakan Jabat Erat daripada festival lain adalah keberanian mereka untuk mengangkat semangat D.I.Y ke hadapan, bukan sekadar sebagai konsep tetapi sebagai realiti sebenar dalam perjalanan seorang pemuzik.
Daripada penghasilan rekod seperti vinil, kaset dan CD, sehinggalah kepada pengurusan jelajah band dan penjualan merchandise, semua elemen ini dirangkumkan dalam satu pengalaman yang dekat dengan realiti sebenar industri muzik independen.
Menurut Mozylir, pendekatan ini penting untuk membuka mata generasi baharu terhadap sisi sebenar dunia muzik yang jarang dipaparkan secara terbuka.
“Dari perspektif D.I.Y, kita cerita realiti band yang touring dari satu kota ke satu kota, dari venue kecil ke pentas besar,” katanya.
Pendekatan ini juga memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat sendiri bagaimana sesuatu gerakan seni dibina, bukan sekadar menikmati hasil akhirnya di atas pentas.
Barisan Artis Serantau Satukan Komuniti Jabat Erat Buka Laluan Pentas Global
Dengan lebih 20 artis dari Malaysia dan luar negara, Jabat Erat memperlihatkan usaha jelas untuk membina jambatan antara komuniti muzik tempatan dan antarabangsa.
Antara nama yang bakal tampil termasuk Yellow Fang dari Thailand, Dom 65 dari Indonesia, Megumi Acorda dari Filipina serta Coaltar of the Deepers dari Jepun, di samping barisan artis tempatan seperti Faye Faire, Hawa dan Bayangan.
Gabungan ini merangkumi pelbagai genre seperti rock, punk, shoegaze, metal dan indie, sekali gus mencerminkan kepelbagaian identiti dalam scene alternatif.
Namun, yang lebih penting daripada senarai nama tersebut adalah peluang untuk pertukaran idea dan pengalaman antara artis dari latar belakang berbeza.
“Ini masanya untuk kita inspire generasi pemuzik sekarang dan masa depan, sambil bertukar ilmu antara Malaysia dan dunia luar,” kata Mozylir.
Jabat Erat juga membuka ruang kepada penglibatan perniagaan tempatan dan perusahaan independen untuk turut serta, menjadikan festival ini sebagai sebuah platform komuniti yang hidup dan berkembang.
ODEON KL Dipilih Sebagai Nadi Utama Jabat Erat

Pemilihan ODEON KL sebagai lokasi utama festival bukan keputusan rawak. Bangunan bersejarah ini kini diberi nafas baharu sebagai ruang seni yang lebih inklusif dan komuniti-sentrik.
“Acara ini akan berlangsung di ODEON KL kerana matlamat kami mahu jadikan ODEON KL sebagai pusat budaya Fringe Arts. Ia adalah venue untuk semua peringkat umur yang mementingkan penglibatan belia dan hiburan yang selamat, komuniti sentrik, tapi tetap raw.” Jelas Mozylir.
Dalam konteks ini, ODEON KL bukan sekadar venue, tetapi sebahagian daripada naratif festival itu sendiri. Ia menjadi simbol kepada usaha menghubungkan masa lalu dengan masa depan, sambil membuka ruang kepada ekspresi seni yang lebih bebas.
Langkah ini juga memperlihatkan bagaimana ruang fizikal boleh memainkan peranan penting dalam membentuk identiti sesuatu gerakan seni.
Jabat Erat dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 5 hingga 7 Jun 2026 di ODEON KL. Namun di sebalik tarikh dan atur cara, festival ini membawa persoalan yang lebih besar kepada industri tempatan.
Jika inisiatif seperti ini mampu bertahan dan berkembang, tidak mustahil ia menjadi titik permulaan kepada kebangkitan semula scene alternatif Malaysia yang selama ini bergerak secara senyap, tetapi tidak pernah mati.
HAvoxians! Dapatkan Jabat Erat Fringe Art Festival 2026 Di Sini!