
Siapa sangka bunyi pintu kereta dihempas, lampu isyarat berbunyi dan tingkap automatik bergerak boleh bertukar menjadi muzik? Kalau selama ini bunyi sebegitu cuma jadi peneman ketika memandu, Toyota Motor Asia nampaknya ada idea lain yang jauh lebih kreatif!
Menerusi projek Move Your World Beat, tujuh pemuzik muda dari enam negara Asia bergabung untuk menghasilkan New Day Rising, sebuah lagu yang mencampurkan bunyi kenderaan Toyota dengan alat muzik tradisional dan rentak moden. Hasilnya bukan sekadar eksperimen bunyi biasa, tetapi pertembungan dua dunia muzik yang cukup berbeza.
Lebih menarik, projek ini turut membawa identiti muzik dari Malaysia, Pakistan, Vietnam, Filipina, Singapura dan Thailand ke dalam satu kolaborasi.
Bayangkan bunyi yang biasa kita dengar di jalan raya bertemu instrumen tradisional Asia, kemudian diolah menjadi sebuah karya yang mempunyai identiti tersendiri. Pelik bunyinya? Mungkin. Tetapi di situlah letaknya keunikan projek ini!
Tujuh Bakat Muzik Asia Bergabung, ‘New Day Rising’ Satukan Enam Negara

Di sebalik New Day Rising, terdapat tujuh pemuzik yang membawa latar belakang, pengalaman dan identiti seni berbeza, tetapi berkongsi matlamat untuk meneroka kemungkinan baharu dalam muzik Asia.
Mereka ialah Natasha Noorani dari Pakistan, Belle Sisoski dari Malaysia, Shye dari Singapura, Valentina Ploy dari Thailand, 2pillz dari Vietnam serta pasangan kembar Miguel dan Paolo Benjamin daripada kumpulan Ben&Ben dari Filipina.
Kepelbagaian mereka bukan sekadar terletak pada negara asal, malah turut terserlah melalui genre dan pendekatan muzik yang dibawa ke dalam projek tersebut.
Natasha Noorani menggabungkan pengaruh muzik Asia Selatan dengan pop elektronik, manakala Belle Sisoski mengetengahkan alat muzik tradisional Asia Tenggara dalam karya kontemporari. Kedua-duanya memperlihatkan bagaimana unsur warisan boleh diberikan nafas baharu tanpa kehilangan identiti asal.

Shye pula dikenali melalui pendekatan kreatif yang merangkumi penulisan lagu, penerbitan muzik dan kejuruteraan audio. Kebebasan mengendalikan proses tersebut membolehkannya membentuk identiti bunyi tersendiri.
Valentina Ploy membawa pengaruh warisan Thailand dan Itali dalam ekspresi muziknya, sementara 2pillz meneroka pelbagai genre menerusi eksperimen bunyi yang mencabar pendekatan penerbitan konvensional.
Sementara itu, Miguel dan Paolo Benjamin memulakan perjalanan muzik sebagai duo akustik sebelum mengembangkan projek mereka menjadi Ben&Ben, kumpulan sembilan anggota yang mendapat tempat dalam industri muzik Filipina.
Gabungan pengaruh folk pop, R&B, muzik elektronik, dream pop dan penerbitan eksperimental menjadikan kolaborasi ini sebuah pertemuan kreatif yang tidak terikat pada satu identiti bunyi sahaja.
Apa yang menarik, setiap artis tidak perlu mengetepikan keunikan masing-masing untuk menghasilkan karya bersama. Sebaliknya, perbezaan itulah yang menjadi kekuatan utama dalam membentuk identiti muzik kolektif mereka.
Pendekatan ini selari dengan aspirasi Move Your World, platform Toyota Motor Asia yang melihat pergerakan sebagai sesuatu yang melangkaui perjalanan fizikal, sebaliknya turut merangkumi keupayaan manusia untuk berhubung, berkongsi idea dan mencapai sesuatu yang lebih besar melalui kerjasama.
Bunyi Lampu Isyarat Hingga Alat Muzik Tradisional Jadi Identiti ‘New Day Rising’

Keunikan New Day Rising terletak pada cara bunyi yang biasa didengar dalam kehidupan seharian diterjemahkan menjadi elemen muzik.
Antara bunyi kenderaan yang dijadikan sampel ialah klik lampu isyarat membelok, pertukaran gear, dengungan tingkap kuasa dan hentakan pintu kenderaan yang ditutup. Bunyi tersebut kemudiannya diolah menjadi unsur ritma dan tekstur audio yang membentuk asas kepada eksperimen muzik para artis.
Sampel tersebut digabungkan dengan alat muzik tradisional yang membawa sejarah dan identiti budaya masing-masing. Antaranya ialah Alghoza, seruling berkembar tradisional dari Pakistan, serta Dan To Rung, alat muzik berasaskan buluh dari Vietnam yang menghasilkan bunyi menyerupai xilofon.
Pertemuan bunyi mekanikal dengan alat muzik tradisional mewujudkan ruang untuk eksperimen yang lebih luas. Bunyi kenderaan yang biasanya dikaitkan dengan perjalanan dan teknologi kini menjadi sebahagian daripada susunan muzik, manakala instrumen tradisional memberikan tekstur serta karakter budaya yang tersendiri.
Elemen tersebut kemudiannya disatukan dalam New Day Rising, sebuah lagu yang menggabungkan enam gaya muzik dan pelbagai perspektif kreatif ke dalam satu karya kolektif.
Susunan muziknya menampilkan vokal utama yang bertenaga, bahagian yang lebih intim, harmoni berlapis, elemen sinematik, tekstur shoegaze serta pendekatan penerbitan eksperimental.
Hasilnya bukan sekadar gabungan bunyi yang berbeza, tetapi sebuah percubaan untuk mempertemukan dua dunia yang sering dianggap berasingan, iaitu warisan muzik tradisional dan teknologi moden.
Konsep ini turut membuka perspektif menarik tentang bagaimana bunyi yang kita dengar setiap hari boleh mempunyai nilai kreatif apabila diterokai melalui sudut pandang berbeza.
Pada masa sama, penggunaan teknologi dan teknik penerbitan moden membolehkan unsur budaya tersebut diteroka dalam konteks yang lebih segar serta relevan dengan citarasa pendengar masa kini.
Toyota Motor Asia Buka Ruang Kolaborasi, Muzik Asia Dibawa Ke Pentas Serantau

Di sebalik eksperimen bunyi yang menjadi tarikan utama projek ini, Move Your World Beat turut membawa mesej lebih luas tentang peluang dan perkembangan bakat muzik Asia.
Menerusi inisiatif ini, Toyota Motor Asia menyediakan platform yang menghimpunkan bakat muda merentas negara, sekali gus membuka ruang kepada mereka untuk bereksperimen dan memperkenalkan hasil kreativiti kepada khalayak serantau.
Pengurus Besar Toyota Motor Asia, Jaja Ishibashi, berkata inisiatif berkenaan turut mencerminkan aspirasi syarikat untuk menyumbang kepada perkembangan pemuzik serta komuniti yang menyokong perjalanan seni mereka.
“Hasrat kami adalah untuk menyumbang kepada perkembangan pemuzik Asia, di samping memperkasakan komuniti yang menjadi tulang belakang mereka.
“Dengan menghimpunkan artis daripada pelbagai budaya, kami berharap dapat memperluaskan batas kemungkinan muzik Asia, sekali gus memberi inspirasi kepada masyarakat di seluruh rantau ini untuk saling berhubung dan meneroka pencapaian lebih besar yang mampu kita hasilkan bersama,” katanya.
Justeru, semangat ini turut dicerminkan dalam mesej lagu New Day Rising, yang mengangkat gagasan bahawa perubahan boleh dicipta apabila individu bergerak bersama.
Oleh itu, Havoxians dan peminat muzik, Move Your World Beat Volume 1 menawarkan peluang untuk mendengar bagaimana bunyi kenderaan, instrumen tradisional dan pelbagai pengaruh muzik Asia boleh disatukan dalam sebuah projek yang mempunyai identiti tersendiri.
Persoalannya, mampukah gabungan bunyi berbeza ini mencipta satu fenomena muzik baharu di rantau Asia?